Berita

Tahan aktivis asing bercanggah piagam hak asasi antarabangsa – Suaram

KUALA LUMPUR, 27JUN: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mendesak kerajaan mengkaji semula Akta Perhimpunan Aman 2012 supaya ia selaras dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

Suaram merujuk kes penahanan aktivis alam sekitar Friends of the Earth dari Australia, Natelie Lowrey yang ditahan tanpa alasan kukuh enam hari lalu dibawah Akta Imigresen dan Kanun Acara Jenayah.

“Akta Perhimpunan Aman 2012 yang melarang warga asing daripada menganjur atau menyertai sebarang perhimpunan aman patut dimansuhkan sesuai dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

“Hak-hak ini tidak boleh dibatalkan semata-mata atas alasan bahawa Natalie adalah warga asing ,” kenyataan Suaram dipetik.

Tegas Suaram, Natalie dan 15 lagi aktivis lain tidak sepatutnya ditahan kerana mereka hanya menggunakan hak kebebasan bersuara dan berhimpun bagi menyatakan bantahan terhadap kilang yang menimbulkan risiko besar kesihatan dan alam sekitar kepada penduduk Kuantan.

Suaram mengingatkan kerajaan dan polis bahawa hak kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman diiktiraf dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UNDHR)

“Mereka membantah secara aman dan tidak boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah.

“Menangkap Natalie menggunakan Akta Imigresen yang membenarkan penahanannya selama 14 hari sebelum beliau dibawa ke mahkamah jelas berniat jahat,” tegas Suaram.

Terdahulu, Suaram bersama 31 NGO melancarkan petisyen online mendesak kerajaan membebaskan segera aktivis Australia Natelie Lowrey yang ditahan di pintu masuk loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng.

Sejak dilancarkan 23 Jun lepas, petisyen antarabangsa membantah penahanan Natalie berjaya mengumpulkan lebih 14,000 tandatangan daripada seluruh dunia.

Natalie bersama 15 aktivis lain telah ditahan oleh pasukan polis kerana enggan berganjak dari kilang Lynas di Gebeng, Kuantan.

Antara yang ditahan adalah Pengerusi Himpunan Hijau Wong Tack dan Ketua Publisiti Pilihanraya DAP Hew Kuan Yau. – Roketkini.com.