Berita

Najib sekali lagi didesak tarik pujian kepada ISIL

KUALA LUMPUR, 1 JULAI: DAP sekali lagi mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menarik semula seruannya minggu lalu kepada ahli Umno agar mencontohi keberanian kumpulan militan Islamic State in Iraq and the Levant (ISIL).

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, penarikan itu penting memandangkan ISIL semakin mendapat perhatian apabila mengumumkan pelantikan ‘Khalifah Islam’ yang memiliki kuasa pentadbiran awam.

Semalam, ISIL dalam satu rakaman audio mengisytiharkan ketuanya Abu Bakr al-Baghdadi sebagai Khalifah dan menggesa seluruh Muslim taat kepadanya.

“Media melaporkan pengumuman ISIL sebagai pemimpin orang Islam seluruh dunia atas nama agama, dengan kuasa sivil penuh.

“Penting untuk Perdana Menteri segera menarik balik seruannya bagi membuktikan beliau tidak setuju dengan taktik ganas dan militan selain menjaga kedudukannya selaku pemimpin sederhana,” kata Guan Eng.

Media sebelum ini pernah melaporkan dakwaan bahawa rakyat Malaysia turut menyertai ISIL.

Justeru itu, kata Guan Eng, jika Najib enggan menarik kenyataannya, beliau akan dianggap secara tidak langsung menggalakkan keganasan dengan memuji kumpulan militan yang menggunakan kekerasan hanya kerana perbezaan agama dan puak.

26 Jun lalu, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan penafian yang menyebut kenyataan Najib itu diambil di luar konteks dan bahawa beliau tidak bermaksud menyokong kumpulan itu.

Menganggap penafian itu sebagai tidak memadai, Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata ia tidak sedikit pun melepaskan Najib, kerana beliau sendiri mengaku sebagai pemimpin yang mengangkat tema kesederhanaan.

“Najib sepatutnya mencontohi komitmen PAS yang mengutuk taktik ganas ISIL yang mengancam dan membunuh orang awam yang tidak bersalah, serta memecat ahlinya yang menyertai militan itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa Menteri MCA dan Gerakan yang baru dilantik agar mendesak perkara sama kepada Najib ketika mesyuarat Kabinet esok.

“Adakah Menteri MCA dan Gerakan berani membuat desakan sama kepada Najib ketika menghadiri mesyuarat Kabinet pertama mereka esok?” soal beliau. – Roketkini.com