Berita

Guna ‘pintu belakang’ gugur tuduhan diplomat Malaysia, Anifah Aman perlu jujur

KUALA LUMPUR, 2 JUL – Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman perlu jujur jika ada usaha Wisma Putra melalui ‘pintu belakang’ untuk menggugurkan tuduhan terhadap diplomat Malaysia yang didakwa terlibat dengan kes serangan seksual di New Zealand.

Setiausaha Eksekutif Biro Antarabangsa DAP Howard Lee berkata, Anifah mesti menjawab sama ada kementeriannya menafikan permohonan New Zealand mengenepikan kekebalan diplomatik selain memohon pertuduhan terhadap pegawai tersebut digugurkan.

“DAP menentang kehendak kerajaan Malaysia menggunakan kekebalan diplomatik kerana ia jelas bertentangan prinsip keadilan.

“DAP mengutuk sebarang usaha untuk membantutkan pelaksanaan keadilan serta sebarang usaha menutup kebenaran daripada orang ramai,” kata Howard dalam satu kenyataan.

Polis Wellington pada 9 Mei lalu menangkap pegawai tentera yang berkhidmat dengan Kedutaan Besar Malaysia di Wellington, Muhammad Rizalman Ismail, kerana disyaki memecah masuk dan menyerang seorang wanita dengan niat merogol.

Keesokannya, suspek dihadapkan ke mahkamah, manakala Kementerian Luar & Hal Ehwal Perdagangan New Zealand memohon kekebalan diplomatik beliau digugurkan.

“Tuduhan tersebut serius dan berisiko merosakkan hubungan baik dengan New Zealand. Situasi sebegitu sensitif mesti dikendalikan dengan berhati-hati, segera dan penuh ketelusan,” ujar Howard yang juga Adun Pasir Pinji.

Beliau menggesa Malaysia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa New Zealand dan memastikan keadilan dilaksanakan demi kepentingan kedua-dua pihak tertuduh dan mangsa.

30 Jun lalu, Perdana Menteri New Zealand John Key akhirnya bersuara mengenai hal tersebut. Ia  disambut kenyataan balas Anifah kononnya kerajaan New Zealand menawarkan diplomat Malaysia tersebut dibenarkan pulang.

Kenyataan Anifah dinafikan New Zealand melalui pendedahan dokumen surat-menyurat kedua-dua pihak di bawah undang-undang kebebasan maklumat negara itu.

Dokumen membuktikan bahawa kerajaan Malaysia yang memohon pertuduhan terhadap Rizalman digugurkan. – Roketkini.com