Berita

Bersih selar SPR tolak prinsip ‘satu orang, satu undi’.

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak harus dijadikan alasan untuk merendahkan prinsip ‘satu orang, satu undi, satu nilai’ (OPOVOV), kata Gabungan Pilihanraya Bebas & Adil (Bersih).

Bersih membidas kenyataan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Seri Abdul Aziz Yusof bahawa OPOVOV tidak praktikal dan hanya dasar populis kerana pelaksanaannya tidak mengikut keperluan kawasan dengan jumlah pengundi sama.

Aziz dilaporkan menolak pandangan bahawa setiap kawasan parlimen wajar mempunyai jumlah pengundi yang saksama, dengan perbezaan maksimum 15 peratus.

Kata Aziz, ia sukar dilakukan kerana sistem persempadanan sedia ada telah dibahagikan kepada kawasan bandar, separa bandar dan luar bandar.

Tegas Bersih,ia tidak bermaksud bahawa SPR dibenar mempermudahkan pentadbiran dan perwakilan mengikut kaum, seperti yang digambarkan Aziz.

“Sudah tentu ada cara untuk ‘meratakan padang permainan ’ terutama di luar bandar, seperti meningkatkan komunikasi, penyebaran maklumat serta tempoh kempen lebih lama.

“Bersih telah menyebut perkara ini dalam lapan tuntutan kami iaitu tempoh kempen minimum 21 hari dan akses yang adil dan bebas kepada media,” ujar mereka dalam kenyataan.

Menurut Bersih tanpa sistem OPOVOV, pilihan raya seperti tidak memberi rmakna, terutama kepada pemilih yang undinya ‘kurang bernilai’ dan terdiri dari 53 peratus keseluruhan pengundi.

Tegasnya, peruntukan Seksyen 2(c), Bahagian 1, Jadual 13 seperti termaktib dalam dalam Perlembagaan Persekutuan tidak harus dijadikan alasan SPR  untuk merendahkan prinsip ‘satu orang, satu undi, satu nilai’.

Prinsip berkenaan merupakan salah satu daripada tujuh perkara utama yang dikenalpasti panel Tribunal Rakyat ke atas PRU 13

Justeru Bersih menyeru rakyat Malaysia bergerak memperjuangkan prinsip ‘satu orang, satu undi, satu nilai’ ini melalui Bengkel Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya (DART) yang sedang berlangsung.

“Kita mesti bersedia menghadapi persempadanan semula oleh SPR yang dilakukan untuk menghalang prinsip ‘satu orang, satu undi, satu nilai’. – Roketkini.com.