Berita

Kavyan anjur projek bantuan makanan untuk warga miskin

(Gambar hiasan)

SHAH ALAM, 3 JULAI: Demi membantu anak-anak keluarga miskin dan kurang berkemampuan, Kumpulan Sasterawan Kavyan akan menganjurkan satu projek bantuan makanan bermula 7 Julai ini.

Presiden Kavyan Uthaya Sankar SB berkata, program yang mendapat sokongan pelbagai pihak itu akan dijalankan di sekitar Taman Sri Muda.

“Memandangkan masih wujud ramai murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah daripada keluarga miskin dan kurang berkemampuan, Kavyan dengan sokongan, sumbangan dan kerjasama pelbagai pihak melaksanakan projek makan tengah hari kepada sejumlah murid di sekitar Taman Sri Muda.

“Projek bantuan makanan ini dimulakan walaupun belum ada sumbangan yang mencukupi untuk melaksanakannya secara berterusan. Sedikit barangan keperluan sudah dibeli hasil sumbangan rakan-rakan yang prihatin,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain projek bantuan makanan, beberapa penduduk yang menghadapi masalah ketiadaan sijil kelahiran, kad pengenalan dan dokumen pengenalan diri juga turut mendapat perhatian Kavyan.

“Masalah-masalah ini menyebabkan mereka menghadapi masalah meneruskan pelajaran, mencari pekerjaan dan menguruskan perkahwinan.

“Berikutan beberapa kes yang dibawa, kami telah menghubungi Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar (DHRRA) untuk membuka kaunter MyDaftar di Rumah Kavyan pada 13 Julai ini,” jelasnya.

Menurut Uthaya, untuk menjayakan projek, seorang suri rumah sebuah keluarga miskin telah menawarkan diri menjadi tukang masak.

Katanya, guru-guru prihatin dari sekolah berhampiran juga akan menyalurkan maklumat murid, pelajar miskin yang memerlukan bantuan.

Sejak ditubuhkan pada Ogos 1999, Kavyan bergiat aktif dalam usaha menggalak kanak-kanak dan remaja pelbagai kaum mencintai Bahasa Malaysia.

Rumah Kavyan di Sri Muda juga telah dijadikan pusat aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya dengan penglibatan semua lapisan masyarakat.