Berita

MP Serdang ajak puasa sehari, solidariti bersama umat Islam Xinjiang

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Rakyat Malaysia harus menyatakan sokongan mereka kepada umat Islam di Xinjiang, China, yang dilarang kerajaan wilayah itu daripada menunaikan ibadah berpuasa di bulan Ramadan.

Sebagai tanda solidariti dan sokongan terhadap hak umat Islam di sana untuk menjalankan kewajipan agama mereka, Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming mengajak seluruh rakyat Malaysia bukan-Muslim berpuasa selama sehari.

“Saya secara khusus ingin menyeru rakyat bukan Islam di Malaysia untuk bangun menyokong kebebasan beragama bagi semua kumpulan minoriti di seluruh dunia, dengan berpuasa sehari pada bulan mulia ini bersama-sama rakan Muslim kita,” katanya.

Kian Ming dalam kenyataannya hari ini mengecam penindasan dilakukan kerajaan China yang mengeluarkan arahan melarang penjawat awam, guru dan pelajar daripada menjalankan kewajipan itu.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan menindas itu. Larangan itu bermakna memaksa umat Islam di sana untuk tidak mematuhi salah satu daripada rukun Islam.

“Ini bertentangan dengan prinsip kebebasan beragama, iaitu kebebasan untuk seseorang menjalankan amalan agama yang dianutinya,” tegasnya.

Larangan tersebut mula dikuatkuasakan sejak beberapa tahun lalu dan sudah mula dimuat naik oleh beberapa jabatan kerajaan daerah sejak minggu lalu.

Stesen milik kerajaan Bozhou Radio and TV University dalam lamannya menyatakan, larangan itu dikenakan kepada semua anggota parti, guru dan golongan muda.

Menurut Kian Ming lagi, beliau sendiri mulai berpuasa sepanjang bulan Ramadhan sejak tahun lalu kerana amalan itu membolehkannya berkongsi pengalaman berpuasa bersama-sama umat Islam. – Roketkini.com