Berita

Lantik Mah ke portfolio agama Hindu, kabinet Najib ‘tangkap muat’

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: DAP menggesa kerajaan mempertimbangkan semula pengagihan portfolio Menteri yang dilihat tidak mencerminkan kewibawaan barisan kabinet, sebaliknya hanya mengisi kekosongan, kata Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming.

Katanya, pengagihan baru dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencerminkan kelemahan pentadbiran kerajaan khususnya pelantikan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong untuk menguruskan Hal Ehwal Agama Hindu di Jabatan Perdna Menteri (JPM).

“Melantik Mah ke portfolio Hal Ehwal Agama Hindu seolah-olah membuktikan tidak ada pemimpin kaum India dalam BN yang layak menguruskannya.

“Mah bukan penganut Hindu dan tidak tahu hal keagamaan Hindu, jadi bagaimana beliau hendak mengurus tadbir hal ehwal agama Hindu?,” kata Nga dalam kenyataan.

Selain portfolio tersebut, Mah turut berperanan termasuk mengawasi Unit Inovasi Khas (UNIK) di JPM, Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia Bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan kebajikan peniaga kecil Cina.

Tambah Nga yang juga Penolong Bendahari DAP, kabinet baru Malaysia yang terlalu besar ini telah menjadi jenaka antarabangsa.

“Jumlah 35 orang Menteri dan 27 orang Timbalan Menteri mengikut nisbah penduduk adalah paling ramai di dunia.

“Malaysia kononnya mempunyai ‘dasar pandang ke timur’, tapi negara Jepun hanya mempunyai 16 orang Menteri walaupun bilangan penduduk seramai 120 juta orang,” ujarnya.

Tegas Nga, Australia juga hanya memiliki 18 orang Menteri sahaja, sementara Amerika Syarikat 23 Menteri.

“Jika kita bandingkan dengan India yang mempunyai 1 bilion penduduk, jumlah anggota Kabinet negara demokrasi terbesar di dunia itu hanya 28 orang sahaja.

“Kabinet besar ini turut merugikan. Kos tanggungan rakyat kini berjumlah RM10 juta setahun untuk gaji dan emolumen Menteri-Menteri,” tegasnya. – Roketkini.com