Berita

Pusat diminta kaji caj levi kenderaan masuk Johor

KULAI, 4 JULAI: DAP Johor menggesa kerajaan mengkaji keputusan mengenakan levi ke atas kenderaan berpendaftaran asing, terutama dari Singapura, yang memasuki Malaysia melalui Johor.

Pengarah Dasar DAP Johor Wong Shu Qi berkata, ia memberi kesan kepada rakyat Malaysia yang menetap di Johor Bahru dan berulang-alik setiap hari bekerja di Singapura.

“Pertama, rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan harian menggunakan kenderaan berpendaftaran Malaysia sebahagian besarnya bukan penduduk tetap Singapura dan mereka berkongsi kereta dan kos levi.

“Kedua, kebanyakan kenderaan berdaftar di Singapura yang memasuki Johor, terutama di hujung minggu, sebenarnya dimiliki warga Malaysia yang memiliki taraf penduduk tetap Singapura (PR).

“Rakyat kita yang menjadi mangsa kedua-dua kenaikan levi,” kata Shu Qi dalam kenyataannya.

Lembaga Pengangkutan Darat (LTA) Singapura mengumumkan bermula 1 Ogos, bayaran Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) bagi kenderaan asing berdaftar ke republik itu akan dinaikkan dari S$20 kepada S$35 sehari (RM50 ke RM90)

Pada masa sama, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan kementeriannya kini mengkaji cadangan kerajaan Johor untuk mengenakan caj RM20 kepada semua kenderaan Singapura yang memasuki negara ini.
Kata Shu Qi, sekalipun Singapura terus menaikkan bayaran levi, ia tidak menghalang rakyat Malaysia menyeberang tambak bekerja untuk mendapatkan pendapatan yang lebih tinggi.

Namun, sistem pengangkutan awam yang lemah di Johor Bahru menjadi punca warga Malaysia tetap memandu dan menggunakan kenderaan sendiri untuk bekerja di Singapura.

“Singapura memiliki dengan pengangkutan awam bertaraf dunia, malangnya rakyat Malaysia yang berulang alik setiap hari tak dapat bergantung pada pengangkutan awam negaranya sendiri untuk ke Kompleks CIQ (Kastam, Imigresen dan Kuarantin) Johor Bahru,” kata Adun Senai itu.

Beliau menjangkakan, akibat perubahan dasar terbaru kedua-dua negara, lebih banyak rakyat Malaysia yang kebiasaannya memandu kereta akan beralih kepada motosikal.

“Langkah ini mungkin meningkatkan kadar kemalangan maut,” ujar Shu Qi.

Tambahnya, perangkaan Bank Dunia menunjukkan 47 peratus ekspatriat Malaysia yang berpendidikan tinggi kini berada di Singapura.

“Trend pengaliran keluar ini tidak dapat diubah dengan hanya mengenakan levi ke atas kenderaan asing,” kata Shu Qi. -Roketkini.com