Berita

“Semoga Ku Nan mendapat hidayah” – Lim Lip Eng

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Setiausaha DAP Kuala Lumpur Lim Lip Eng menganggap usaha Menteri Wilayah Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang berniat ‘membersihkan’ golongan fakir miskin dan gelandangan di ibu kota menunjukkan beliau sememangnya memandang jijik golongan itu.

“Sangat mengejutkan apabila seorang menteri ternyata tidak pun mempedulikan nasib rakyat miskin malah mahu menghukum mereka pula. Bukan itu sahaja, mereka yang menderma juga mahu disamannya.

“Ini sangat luar biasa. Saya belum pernah melihat seorang Muslim yang begitu keras hatinya sehingga sanggup mengeluarkan arahan sebegini dangkal di bulan mulia ini, ketika umat Islam berlumba-lumba membuat kebajikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Tengku Adnan mengeluarkan arahan bahawa sesiapa yang didapati memberi sedekah akan disaman. Beliau juga menghalang mana-mana badan sukarelawan untuk meneruskan kegiatan agihan makanan percuma dalam lingkungan dua kilometer daripada kawasan Bukit Bintang.

Arahan itu dikeluarkan kononnya untuk menjaga imej negara dan segera mengundang kritikan ramai, termasuk daripada kolektif Dapur Jalanan Kuala Lumpur yang menyifatkan kerajaan tidak berhak menentukan tempat mereka menjalankan agihan makanan.

Laman Facebook Tengku Adnan juga diserang ramai pengguna Facebook yang meninggalkan komen menghentam beliau dan memuat naik poster bertulis “feeding people is not a crime.”

Sehubungan itu, Lip Eng menggesa Adnan cepat-cepat bertaubat, apatah lagi di bulan Ramadan ini ketika amalan seperti besedekah sangat dianjurkan agama.

“Di bulan yang mulia ini, saya rasa begitu pelik melihat seorang menteri Umno beragama Islam tiba-tiba mengisytihar perang terhadap amal kebaikan, bersedekah dan memberi makan fakir miskin.

“Rakan-rakan Melayu dalam DAP mengajar saya bahawa, apabila matinya seseorang Muslim, terputuslah daripadanya semua perkara kecuali tiga: anak yang baik yang mendoakannya, ilmu yang bermanfaat dan sedekah.

“Maka saya menggesa beliau menarik balik arahan yang tidak berperikemanusiaan itu. Semoga Ku Nan mendapat hidayah,” katanya lagi. -Roketkini.com