Sastera

Ulasan novel: Senggama politik dan seks

oleh Zikri Rahman

“Kemungkinan terbesar sekarang adalah memperbesar kemungkinan” – Homicide dalam lagunya, Barisan Nisan.

Novel ketiga Eka Kurniawan, Seperti Dendam, Rindu Harus Dibayar Tuntas, ditulis dalam kemungkinan-kemungkinan yang aneh – soal “burung”, atau penis, atau “kontol”, dengan sarat perasaan jiwa yang diperbesarkan kemungkinan subjek ceritanya.

Membaca sinopsis di balik belakang novel ini adalah satu tipu daya. Soal “puncak rezim yang penuh kekerasan” dan “…seekor burung memutuskan untuk tidur panjang” misalnya adalah pernyataan paradoks yang tidak akan kita temui dalam kerangka yang kita mengerti.

Membedah pernyataan sinopsis ini dapat memberi sedikit sebanyak sudut pandang yang berbeza. Fikirkan ini: kata “rezim” (bahasa Melayunya, rejim) yang hadir dalam novel ini adalah cara hidup wataknya sendiri dan tidak merujuk pada aparatus kekuasaan kerajaan seperti askar atau polis.

Selain itu, “kekerasan” yang diertikan bukan sahaja hadir dalam keganasan yang ditonjolkan dalam babak bergocoh yang sadis, tapi cukup dengan kebanalan hampir kesemua wataknya dalam memperjudi hidup tidak meladeni takdir.

Yang membawa kebenaran hanya satu, iaitu imejan muka depan novel ini, gambar “burung”, kerana akhirnya “burung” inilah yang akan bercerita pada kita tentang segala-galanya!

Seksual terperas, politik memeras

Dalam campur-baur rumit perhubungan teori politik soal “military-industrial complex” dan “politico-media Complex” antara lainnya, tulisan Eka Kurniawan ini merencana sesuatu yang lebih membumi pada fitrah manusia, iaitu “sexual-political complex” (itupun jika ada teori yang dinamakan sedemikian).

Seperti Dendam, Rindu Harus Dibayar Tuntas berlegar sekitar Ajo Kawir dan watak utamanya. Alat sulit Ajo Kawir bercerita tentang persoalan-persoalan yang bersilih ganti, khususnya soal dinamika perhubungan seksual-politikal dalam pojok kata antara dua watak yang boleh dikatakan mengikat kejap soal ini, iaitu:

“Kehidupan manusia ini hanyalah impian kemaluan kita. Manusia hanya menjalaninya saja.”

Pernyataan di atas ini tersingkap luas dalam beberapa peristiwa melibatkan soal seksualiti, mendorong perlakuan wataknya dalam mengemudi layar ceritanya.

Cukup dua peristiwa yang membawa kepada selok-belok tema besarnya, iaitu soal keinginan seksual Ajo Kawir yang terperas serta Iteung, isteri Ajo Kawir yang diperas seksualitinya sedari kecil.

Dalam dua peristiwa ini bahkan kedua-dua hambatan emosi yang kuat ditonjolkan dalam novel ini – antara rindu dan dendam, menjurus kepada pertimbangan politik yang tuntas antara perhubungan wataknya.

Bawah sedar Freud

Berkisar tentang hal ini, sudut pandang Sigmund Freud, tokoh besar pengajian psikoanalisis dan psikologi, khusus dalam teori Aisberg Mental, terpakai dalam merungkai persoalan hubung kait pemikiran perwatakan novel.

Secara asasnya, Freud mencapahkan kepada tiga tahap minda manusia iaitu peringkat sedar, separa-sedar dan bawah sedar. Dalam menguliti novel ini, dapat tidak dapat, kita menyingkap minda bawah sedar watak-watak, daripada Ajo Kawir sampailah kepada watak Jelita, isteri orang yang kesesatan arah tuju.

Soal-soal motif keganasan, ketakutan, pemerasan nafsu seksual, tuntutan tak bermoral, dan peristiwa malang mengaibkan antara peristiwa-peristiwa yang utama dalam novel yang selari dengan teori Freud ini.

Novel ini sekaligus memberi kita dua persoalan sekurang-kurangya, iaitu apakah sebenarnya novel ini berlaku pada sekitar minda bawah sedar Ajo Kawir semata-mata, dan apa mungkin sebenarnya “burung” si Ajo Kawir ini tetap sahaja bertemu keras dan tegangnya tiap-tiap kali bangkit tidur?