Berita

Kerajaan cabul hak gelandangan – Ong Kian Ming

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Tindakan kerajaan mahu menahan para gelandangan di Kuala Lumpur bermula Isnin ini adalah bertentangan dengan hak politik dan mencabul kebebasan mereka, kata Ahli Parlimen DAP Serdang Dr Ong Kian Ming.

Menurut beliau, rancangan kerajaan menggunakan Akta Orang Papa untuk membenarkan penahanan dibuat juga tidak ubah seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan pada tahun 2012.

“Seksyen 3 Akta Orang Papa (DPA) 1977 membolehkan majistret mengarahkan seorang gelandangan untuk tinggal di rumah kebajikan sehingga satu bulan.

“Manakala Seksyen 4 DPA membolehkan majistret, berdasarkan syor seorang pegawai kebajikan masyarakat, memerintahkan gelandangan tinggal di rumah kebajikan sehingga 3 tahun dan perintah ini boleh dilanjutkan sehingga 3 tahun lagi.

“Ini bermakna gelandangan boleh ditahan untuk tempoh panjang sehingga 6 tahun. Tindakan menggunakan DPA untuk menahan mereka perlu dikutuk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim baru-baru ini mengatakan gelandangan yang ditahan akan diberi penjagaan dan pemulihan selama tiga tahun, namun mereka boleh dikeluarkan menurut dua syarat.

Syarat itu menurut Rohani adalah seperti yang termaktub dalam Seksyen 8 (1) DPA, iaitu jika pihak berkuasa berpuas hati bahawa penghuni telah mendapat pekerjaan sesuai untuk menyenggara diri atau diberikan jagaan kepada seseorang yang mahu dan berkebolehan menanggung mereka.

Menyelar kenyataan Rohani itu, Kian Ming menegaskan bahawa gelandangan sukar untuk mencari pekerjaan tetap kerana pelbagai sebab dan, lebih malang lagi, mereka telah terputus hubungan dengan ahli keluarga.

“Untuk menghendaki mereka mendapat pekerjaan tetap atau tempat tinggal yang bersesuaian sebelum dibebaskan dari rumah kebajikan adalah tidak adil dan tidak boleh diterima.

“Penjenayah sekalipun tidak diarahkan supaya mempunyai pekerjaan tetap atau tempat tinggal kekal sebelum dibebaskan,” tegasnya.

Isu gelandangan di ibu kota menjadi perhatian ramai selepas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor melarang kolektif dan NGO daripada beroperasi memberikan bantuan kepada mereka dalam zon 2 kilometer dari pusat bandar.

Selepas mengeluarkan amaran yang mencetuskan kemarahan orang ramai itu, beliau dilaporkan semalam berkata pihak kementerian akan menemui beberapa kumpulan NGO minggu depan untuk menyelesaikan masalah berkenaan. -Roketkini.com