Berita

Hari Warisan berperanan kukuh persefahaman antara kaum

GEORGE TOWN, 7 JUL: Sambutan Hari Warisan berperanan mempererat hubungan dan mengukuhkan persefahaman budaya antara pelbagai suku kaum dan etnik, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

“Keunikan bandaraya ini ialah kerana ia terdiri daripada pelbagai suku bangsa, ikatan agama, dan kebudayaan, di mana amalan dan seni tradisional bertahun-tahun dahulu masih kekal dan diamalkan sehingga hari ini.

“Melalui acara perayaan warisan sebegini, kita boleh mempererat hubungan dan mengukuhkan persefahaman budaya antara pelbagai suku kaum dan etnik,” kata Guan Eng dalam ucapan perasmian Sambutan Ulangtahun Ke-6 George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO, hari ini.

Katanya, Pulau Pinang sebagai peneraju kebudayaan dan kesenian, dengan George Town sebagai ‘duta’, perlu memanfaatkan warisan seni bina, bahasa, tarian, pakaian, muzik, makanan dan kehidupan harian masyarakat yang berbeza sebagai produk yang memberi sumbangan besar kepada industri ekonomi Pulau Pinang.

“George Town adalah bukti hidup kepada warisan budaya dan tradisi Asia. Yang ketara, penduduk George Town menjadi nadi dan jiwa kepada bandar ini.

“Inilah keistimewaan dan keunikan Bandar George Town sebagai satu lagenda yang hidup,” ujar Guan Eng.

Justeru kata Guan Eng, tema ‘Legasi Hidup’ bersempena sambutan Hari Warisan kali ini sangat bertepatan dengan usaha kerajaan negeri bagi menghargai peranan karyawan tempatan, terutamanya pedagang kraftangan tradisional.

“Rakyat Pulau Pinang sewajarnya menyokong, memahami dan menggunakan kraf dalam kehidupan seharian umpamanya, membeli pakaian, barang hiasan dalaman rumah, pejabat dan lain-lain.

“Seni kraf bukan sahaja warisan bangsa yang perlu dipelihara kerana nilai estetiknya, tetapi sumbangannya yang besar kepada industri ekonomi Pulau Pinang itu. Saya percaya, produk kraf tempatan mempunyai pasaran dan potensi untuk dimajukan.

“Negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Vietnam, dan Myanmar amat bangga dengan produk kraf keluaran mereka. Kita juga sepatutnya mencontohi mereka dan berbangga dengan produk kraf kita.

“Usaha-usaha mempromosi dan mengembangkan keunikan pedagang kraf tradisional masih perlu dipertingkatkan sama ada di peringkat domestik mahupun di peringkat antarabangsa.

‘Saya menyeru agar usaha berkesan diambil bukan sahaja oleh jabatan dan agensi kerajaan, malah oleh sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyemarakkan semula minat rakyat khususnya generasi muda terhadap tradisi dan warisan kraf kita.

“Seni kraf bukan sahaja warisan bangsa yang perlu dipelihara kerana nilai estetiknya, tetapi sumbangannya yang besar kepada industri ekonomi Pulau Pinang itu.

“Saya percaya, bahawa produk kraf tempatan kita mempunyai pasaran dan berpotensi untuk dimajukan,” katanya. – Roketkini.com

 

Foto: Buletinmutiara