Berita

Pakatan sedia kerjasama dengan BN elak ‘13 Mei’

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Pakatan Rakyat sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Umno-BN bagi memastikan insiden 13 Mei 1969 tidak berulang lagi di Malaysia, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Namun, Pakatan tidak akan sama sekali membiarkan sebarang ugutan pengulangan insiden itu dibuat bagi menakut-nakutkan rakyat, tambahnya lagi.

“Saya akan menjadi orang pertama yang memuji Tan Sri Muhyiddin Yassin jika dia bercakap sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) bagi seluruh rakyat Malaysia, tentang pentingnya menjaga perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Sebaliknya beliau memberi amaran untuk satu lagi ‘13 Mei’ jika hubungan antara kaum terus memburuk kerana Melayu dan Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Utusan Malaysia 5 Julai lalu menyiarkan kenyataan Muhyiddin yang memberi amaran insiden itu akan berulang kembali jika perpecahan antara kaum terus berlaku.

Dalam laporan itu juga, Muhyiddin cuba menggambarkan kedudukan Melayu dan Islam kini terancam, apabila berkata beliau “setiap malam sebelum tidur memikirkan macam mana hendak uruskan negara” kerana ada menghantar sms, “apa hendak jadi dengan Melayu, kenapa Islam dihina dan hal-hal sama.”

Menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas dan berat sebelah, Kit Siang mempersoalkan motif Muhyiddin mengeluarkan kenyataan itu.

“Adakah Melayu dan Islam di Malaysia diserang masyarakat bukan-Melayu dan bukan-Islam sehingga memungkinan pengulangan 13 Mei?

“Jika tidak benar, mengapa TPM bagi sebuah negara berbilang kaum dan agama mengeluarkan amaran itu, kononnya kerana hal-hal itu (serangan) sememangnya berlaku dan membimbangkan?” soalnya.

Namun, katanya lagi, sekurang-kurangnya kerajaan mengakui bahawa perpaduan negara semakin terjejas, dan menggesa kerajaan segera mencari jalan memastikan ia tidak berlarutan.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu merujuk kenyataan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang dilaporkan berkata, ketegangan semakin meningkat ekoran isu yang dibahagikan antaranya mengikut kaum, agama dan ekonomi.

“Namun, adakah kabinet (dalam mesyuarat) esok menamatkan dasar ‘tidak buat apa-apa’ sehingga membenarkan perkara itu terjadi, dan mula mengutamakan bagaimana memastikan insiden 13 Mei tidak lagi berlaku?” katanya lagi.

Muhyiddin TPM kepada seluruh rakyat Malaysia

Dalam pada itu, Naib Presiden DAP Teresa Kok Suh Sim mengingatkan Muhyiddin, bahawa beliau seharusnya menjadi pemimpin kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Kenyataan sebegitu boleh menyebabkan salah faham antara kaum dan kemarahan orang ramai. Sebagai pemimpin, beliau perlu lebih bertanggungjawab dan berhati-hati. Beliau perlu sedar yang beliau perlu menjadi TPM kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.