Berita

Henti ungkit tragedi 13 Mei untuk takutkan rakyat – NGO Ikram

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menggesa sejarah gelap tragedi 13 Mei 1969 tidak lagi diungkit terutama bertujuan menakut-nakutkan rakyat, sebaliknya bersama-sama membina negara atas dasar perpaduan dan harmoni.

Presiden IKRAM Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad menyifatkan peristiwa itu detik hitam sejarah negara yang harus dijadikan iktibar, bukan sebagai senjata menakut-nakutkan rakyat dengan mengancam ia kembali berulang.

“Tindakan sesetengah kelompok yang sentiasa berusaha menimbulkan keresahan kaum di kalangan masyarakat membayangkan sikap rasisme yang tidak wajar dibiar berlarutan. Sebarang usaha sebegini perlu ditangani dengan segera.

“Malah, situasi masa kini telah jauh berubah. Majoriti masyarakat semakin matang dalam menangani isu perkauman,” katanya dalam satu kenyataan.

Peristiwa 45 tahun lampau itu seringkali dibangkitkan Umno-BN bertujuan menimbulkan syak wasangka antara kaum di Malaysia.

Ia kembali hangat selepas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan pengulangan tragedi itu ekoran kononnya masyarakat Melayu dan Islam semakin hebat diserang.

Berbanding mengungkit hal yang telah berlalu kata Dr Mohd Parid, pemimpin politik dan badan bukan kerajaan sepatutnya memainkan peranan positif mengurangkan ketegangan dan mengukuhkan perpaduan yang menjadi asas kemajuan negara.

“Semua pihak perlu beriltizam menghormati Perlembagaan Persekutuan. Parti kerajaan dan pembangkang serta NGO mesti berusaha mengendurkan sebarang ketegangan yang timbul bagi menjamin kestabilan politik dan keselamatan negara.

“Media juga harus berperanan bagi membina perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

“Marilah kita sama-sama membina Malaysia yang harmoni,” katanya lagi. -Roketkini.com