Berita

Exco Johor diminta perjelas, Bazar Ramadhan Kluang milik Umno?

KLUANG, 10 JUL: Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkibol Tan Hong Pin menggesa kerajaan Johor menjelaskan langkah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) menyerahkan kuasa pengurusan Bazar Ramadhan Kluang kepada satu entiti NGO yang dipengerusikan ahli politik.

Hong Pin berkata demikian merujuk jawapan bertulis Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang (MPK) bahawa Bazar Ramadhan Kluang bukan milik orang persendirian yang berkuasa menghalang mana-mana pihak untuk memasuki kawasan tersebut.

Surat bertarikh 6 Julai itu antara lain mengesahkan bahawa MPK memberi kuasa kepada Md Jais Sarday yang juga Exco Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, merangkap Pengerusi Yayasan Perbandaran Kluang untuk menganjur dan menguruskan bazar Ramadhan tersebut.

“Kami terperanjat dengan penjelasan berkaitan keputusan MMK ini. Seharusnya hal-ehwal pengurusan bazar Ramadhan diurus sendiri oleh pihak berkuasa tempatan iaitu MPK.

“Apakah justifikasi MMK menyerahkan pengurusan bazar kepada Yayasan Perbandaran Kluang yang diketuai oleh Exco negeri sendiri?” soal Hong Pin.

Menurut Hong Pin, arahan tersebut dikeluarkan MMK yang bermesyuarat pada 5 Jun 2014, manakala sewa tapak bazar Ramadhan dikutip oleh NGO tersebut.

Justeru itu, kata Hong Pin, beliau bimbang keputusan MMK antara faktor menyebabkan sewa tapak bazar Ramadhan Kluang meningkat daripada RM 1,000 tahun lalu kepada RM 1,700 pada tahun ini.

“Kita menerima banyak rungutan daripada para peniaga kecil berhubung kenaikan mendadak ini. Malah agihan tapak dipertikaikan apabila ramai peniaga tahun lalu kini tidak mendapat tempat dipercayai akibat ketidaktelusan dalam sistem pengagihan tapak niaga,” ujar Hong Pin.

Hong Pin yang juga Ketua Pemuda DAP Johor bagaimanapun menghargai penjelasan YDP MPK yang jelas membuktikan bahawa tindakan penganjur menghalang dan menghalau rombongan MP Kluang dan Adun Mengkibol memasuki kawasan bazar dalam kejadian 2 Julai lalu adalah tindakan yang salah.

Beliau mendesak Md Jais Sarday tampil memberi penjelasan kepada rakyat Johor berhubung rasional MMK membenarkan MPK menyerahkan kuasa pengendalian bazar kepada yayasan yang dipengerusikan beliau sendiri. – Roketkini.com