Berita

Apa jaminan bau busuk hilang dengan pembinaan insinerator?

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan gagal menjelaskan lebih lanjut jaminannya bahawa bau busuk yang mengganggu penduduk Taman Beringin, Kepong yang berpunca daripada pusat pemindahan sisa disana akan hilang selepas pembinaan insinerator.

Ahli Parlimen DAP Ong Kian Ming berkata, Abdul Rahman hanya ingin mengelirukan orang ramai, terutama penduduk di sana agar tidak lagi membantah projek itu.

Beliau merujuk kenyataan Abdul Rahman semalam, bahawa kerajaan akan menaiktaraf pusat pemindahan sisa dengan memasang dandang tekanan rendah yang dikatakan dapat menghilangkan bau busuk sampah di situ.

“Tentulah bagus jika benar. Namun beliau tidak menjelaskan bagaimana dandang ini akan dibina di situ apabila tiada perancangan pun untuk menutup operasinya ketika insinerator itu dibina. Halaman 26 memorandum yang diberikan kepada senarai pembida (projek insinerator) menyatakan ‘Pusat Pemindahan Sisa Pejal Kepong akan beroperasi seperti biasa sepanjang pembinaan insinerator.

“Adakah dandang itu boleh dibina tanpa menghentikan operasinya. Menteri kena jelaskan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, Abdul Rahman juga tidak menerangkan bagaimana insinerator dapat menjamin menyelesaikan masalah bahan larut lesap daripada sampah basah di pusat pengumpulan sisa, yang merupakan punca utama masalah bau busuk itu.

Dalam kenyataan semalam, Abdul Rahman juga menyerang kumpulan anti-insinerator dengan menuduh mereka membantah projek itu hanya kerana emosi dan fakta tidak lengkap.

Menyangkal dakwaan itu, Kian Ming berkata, penentangannya dan pihak lain terhadap projek itu berdasarkan fakta dan angka, seperti yang dapat dilihat dalam kenyataannya sebelum ini.

“Jika Abdul Rahman rajin untuk meneliti kenyataan saya, beliau akan dapati saya merujuk garis panduan daripada Jabatan Alam Sekitar, angka daripada Draf Plan Pembangunan Kuala Lumpur 2020, laporan Ketua Audit Negara dan daripada kementeriannya sendiri.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa Abdul Rahman mendedahkan Request for Proposal (RfP) berhubung projek ini serta senarai pendek syarikat yang dipilih untuk menyertai tender, berikutan jaminan Abdul Rahman sendiri untuk membentangkan proses tender projek ini kepada awam.

“Sekiranya beliau gagal membentangkan RfP dan maklumat syarikat yang disenarai pendek, beliau bukan sahaja tidak menunaikan kata-katanya, tetapi juga meningkatkan syak bahawa ada sesuatu yang disembunyikan berkaitan proses pembidaan,” katanya lagi. – Roketkini.com