Berita

Benarkah Najib sedia jadi suara kesederhanaan? – Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR, 11 JUL: DAP mempersoalkan kesediaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang inigin menjadi suara kesederhanaan dengan memenuhi aspirasi Kemerdekaan Negara 1957.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, kenyataan Najib di Shah Alam semalam agar dua aliran mazhab Islam, iaitu Sunni dan Syiah bersatu padu merupakan sebuah berita baik di bulan suci Ramadhan.

“Apa yang diucapkan Najib supaya (pengikut mazhab) Sunni dan Syiah mengetepikan perbezaan amat dialu-alukan demi kesederhanaan Malaysia.

“Analogi ini bukan saja terpakai untuk kedua-dua perbezaan amalan, tetapi kepada agama lain seperti terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu kebebasan beragama,” kata Kit Siang.

Najib ketika menyampaikan ucapan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah semalam menyatakan permusuhan kedua-dua dua mazhab itu merupakan punca perpecahan dan peperangan di Timur Tengah, walaupun hakikatnya mereka percaya kepada perjuangan asas yang sama.

Najib dikatakan menggunakan analogi tentang pengikut mazhab Syiah dan Sunni yang diibaratkan di atas landasan lebuh raya dan destinasi sama, melainkan perbezaan laluan.

“Selagi kita tak tukar laluan untuk menolak orang sehingga berlaku kemalangan, maka kita akan sampai ke destinasi dengan selamat,” kata Najib seperti dilaporkan.

Justeru kata Kir Siang, persoalan kini sama ada Najib bersedia menjadi Perdana Menteri yang membawa suara kesederhanaan, menyokong keamanan dan keharmonian di kalangan semua agama seiring aspirasi Pengisytiharan Kemerdekaan 1957.

“Jika ia dipatuhi, tidak akan terjadi lagi tindakan keras ke atas penganut amalan Syiah di negara ini atau konflik serta ketegangan AKIBAT tindakan menghasut kebencian kaum dan agama.

“Apakah kabinet kabinet Najib bersedia dan memberikan sokongan penuh bagi melaksanaan ‘suara lesederhanaan’ tersebut?, soal Kit Siang. – Roketkini.com