Berita

Kos lupus sampah guna insinerator mahal, tak tahan lama

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: DAP Kuala Lumpur menegaskan tidak bersetuju dengan pembinaan insinerator di Taman Beringin, Kepong, berikutan perbelanjaan yang besar tetapi berjangka hayat lebih singkat daripada kaedah lain.

Pengerusi DAP Kuala Lumpur Tan Kok Wai berkata, pengurusan sampah sedia ada melalui kaedah pelupusan sampah di Bukit Tagar jauh lebih murah dan boleh digunakan untuk tempoh lebih lama.

“Jika kita lihat projek Insinerator Broga, jangkaan kos pembinaannya RM1.5 bilion dengan kapasiti 1,500 tan sisa sehari.

“Jangka hayat sesebuah insinerator di antara 15 hingga 20 tahun. Purata kos per tan sisa bagi insinerator antara RM150-RM200, berbanding kaedah pelupusan antara RM40 – RM50.

“Malah, tapak pelupusan sampah Bukit Tagar boleh beroperasi sehingga 60 tahun, bergantung jumlah sisa dihasilkan,” kata Tan dalam satu kenyataan.

Projek insinerator Broga dihentikan pada 2006 selepas bantahan berterusan penduduk setempat yang membawa isu itu ke mahkamah.

Semalam, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, semua pihak perlu menerima projek Insinerator Taman Beringin kerana beberapa negara maju lain menggunakan kaedah itu.

“Seperti membina lebuhraya, ada kawasan kejiranan perlu dipindahkan. Rakyat perlu berkorban (untuk maju),” katanya seperti dilaporkan The Malaysian Insider.

Dalam pada itu kata Tan, tiada satu pun pengurusan insinerator di mana-mana negara yang berani memberi jaminan pengeluaran sifar dioksin.

Dioksin adalah bahan kimia berbahaya yang menjadi agen kepada kanser. Ia terbentuk daripada proses pembakaran di bawah 800 darjah celsius.

Beliau memetik Laporan Audit Negara 2012 yang menyatakan empat insinerator berskala kecil di Langkawi, Cameron Highlands, Pulau Pangkor dan Tioman bermasalah ekoran ketidaksesuaian teknologi.

“Ada laporan menyebut pembakaran dibuat di Insinerator Pangkor pada suhu 650 darjah celsius, lebih rendah daripada yang diperlukan iaitu 800 darjah celsius kerana ‘kakitangan yang belum cekap.’

“Laporan itu turut menyebut bahawa ‘jika kerja pengasingan sisa pepejal dibuat dengan lebih cekap dan prinsip pembakaran difahami, maka suhu dapat dikekalkan pada tahap lebih tinggi’ ujar Tan.

Aspek utama adalah pemisahan sisa

Menurut Pemangku Pengerusi Kebangsaan DAP itu lagi, kenyataan daripada laporan itu menunjukkan bahawa pemisahan sisa adalah aspek terpenting dalam pengurusan sampah.

“Pengalaman luar negara membuktikan apa sahaja kaedah akan gagal jika pemisahan sisa tidak dilaksanakan. Masalah sama di Insinerator Pangkor bakal berulang di Taman Beringin pada skala lebih besar dan mahal.

“Selepas melihat keburukan insinerator yang sudah dibuktikan di luar negara, kami menggesa kerajaan menimbangkan kaedah pengurusan sampah yang tidak melibatkan proses pembakaran (non-thermal) seperti konsep ‘Pengurusan Sifar Sisa’.

“Kami sedia berkongsi kajian kami tentangnya dengan kementerian,” katanya lagi. – Roketkini.com