Berita

Manipulasi kenyataan 13 Mei, Muhyiddin patut salahkan Utusan

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Akhbar milik Umno Utusan Malaysia merupakan pihak yang bertanggungjawab memanipulasi kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung ketegangan kaum dan 13 Mei, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Kit Siang berkata, memang tidak syak lagi, Utusan yang telah memulakan kontroversi tersebut apabila melaporkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu bahawa tragedi 13 Mei mungkin akan berulang jika Melayu terus dihina.

“Saya mengalu-alukan penjelasan Muhyiddin bahawa kenyataannya telah dimanipulasi dan beliau langsung tidak membuat sebarang ancaman 13 Mei kepada bukan-Melayu dan bukan-Muslim.

“Jadi, jika ucapan Muhyiddin di Pagoh itu telah dimanipulasi, maka pelakunya tidak lain adalah Utusan Malaysia. Ini sangat jelas, kerana akhbar itu yang melaporkan ucapan beliau.

“Laporan akhbar berkenaan menyatakan Muhyiddin mengkhususkan bukan-Melayu dan bukan-Islam apabila merujuk kemungkinan berulangnya 13 Mei apabila Melayu dan Islam tidak henti diserang serta dihina,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut mempersoalkan mengapa Muhyiddin memilih untuk menunggu selama enam hari untuk menjelaskan mengenai kenyataan terbabit.

Beliau turut menggesa satu ‘konsensus kebangsaan’ yang melibatkan kepimpinan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional dilakukan untuk menamatkan semua ancaman 13 Mei dan ketegangan kaum dalam negara.

“Negara ini perlu bergerak ke depan. Kita semua rakyat Malaysia harus belajar dari kekecohan yang timbul oleh Muhyiddin minggu lalu kerana tidak berhati-hati dan cuai dalam membuat sesuatu kenyataan awam hingga boleh menjejaskan kebersamaan, keharmonian dan keamanan.

“Apakah Muhyiddin akan menyokong cadangan penyelaran meja bulat antara BN dan PR untuk menamatkan ancaman 13 Mei, kebencian kaum serta agama, konflik dan ketegangan yang timbul sejak 14 bulan lalu?

“Bukankah ia lebih berguna, produktif dan patriotik untuk semua rakyat bersatu tanpa mengira kaum, agama atau kawasan demi menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat, berjaya dan diakui dunia sebagai model negara majmuk.” -Roketkini.com