Berita

RCI pendatang haram Sabah: Sudah 2 bulan selesai, kenapa kerajaan masih enggan bentang laporan?

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mendesak kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar segera membentangkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung masalah pendatang haram di Sabah.

Dalam satu kenyataan semalam, beliau mempersoalkan tindakan kerajaan yang seakan-akan menyembunyikan laporan itu, walaupun sudah menyerahkan hasil siasatan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim pada 14 Mei lalu.

“Tindakan Najib yang terus ‘menyembunyikan’ laporan itu akan menyebabkan kredibilitinya sebagai Perdana Menteri terus merosot.

“Ia hanya akan mengesahkan ketakutan rakyat Sabah bahawa penubuhan RCI itu dua tahun lalu bukanlah usaha jujur kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah yang lama berlarutan itu, tetapi hanya muslihat bagi memenangi undi pada Pilihanraya Umum (PRU) yang lalu.

“Apa lagi penjelasan yang boleh diberikan apabila kerajaan terus enggan membentangkan kepada umum selepas dua bulan ia selesai?” katanya dalam satu kenyataan.

RCI bagi menangani masalah pendatang haram di Sabah ditubuhkan pada 11 Ogos 2012 bagi menyiasat masalah kerakyatan penduduk negeri itu.

Masalah itu dikatakan berpunca daripada ‘Projek IC’ pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi mengubah demografi di Sabah untuk mempengaruhi keputusan pilihanraya.

Dalam pada itu, beliau berkata lagi, penangguhan itu menyebabkan pengumuman Najib untuk menyusun semula Pusat Kawalan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sebelum ini tidak memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan serius untuk menangani isu keselamatan di negeri itu yang punca utamanya adalah kebanjiran pendatang haram.

“Justeru itu, perkara pertama yang perlu beliau lakukan adalah menunjukkan kepimpinannya dengan membentangkan segera laporan RCI itu kepada umum, serta respons penuh kerajaan (bagi menyelesaikan masalah yang dinyatakan dalam RCI itu),” katanya lagi. – Roketkini.com