Berita

Berikutan kenaikan kadar faedah, DAP minta skim pembeli rumah kali pertama dikembalikan

KUALA LUMPUR, 12 JUL: DAP sekali lagi meminta kerajaan melaksanakan kembali Skim Tanggungan Faedah Pemaju (Developer Interest Bearing Scheme, DIBS) untuk pembeli hartanah kali pertama bernilai RM400,000 ke bawah, berikutan pengumuman Bank Negara menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), yang turut melibatkan pinjaman perumahan, kepada 3.25 peratus.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung Lim Guan Eng berkata, ia bagi memudahkan pembeli kali pertama untuk membeli hartanah serta menyemai demokrasi perumahan.

“Kami membantah sebarang kenaikan kadar faedah tanpa apa-apa langkah timbal balik membantu peminjam membayar semula pinjaman mereka,” katanya.

Pada 10 Julai lalu, Bank Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa dasar monetari. Kali terakhir OPR dinaikkan adalah pada Mei 2011.

DIBS adalah satu bentuk Skim Permodalan Faedah (Interest Capitalization Scheme, ICS) yang membenarkan kos faedah dirangkumkan ke dalam nilai jualan. Sewaktu tempoh pembinaan, pemaju dan bukannya pembeli yang membayar faedah terkumpul sehingga rumah siap.

Dengan DIBS, pembeli tidak perlu membayar faedah dan sewa pada masa yang sama, ketika rumah mereka masih dalam proses pembinaan.

Kata Guan Eng lagi, kenaikan kadar faedah akan membawa kesan inflasi, seterusnya meningkatkan kos sara hidup dan mengurangkan kemampuan berbelanja rakyat.

“Ia juga akan menambahkan kos bagi perniagaan, mengakibatkan kenaikan harga barang dan turut menyusahkan pembeli kali pertama untuk mendapatkan kelulusan pinjaman. Ini merupakan aduan utama pemaju dan pembeli berikutan syarat kebolehan membayar balik begitu ketat oleh Bank Negara,” katanya lagi.

Kementerian Kewangan, Bank Negara tolak cadangan

Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga menyatakan kekecewaannya apabila Kementerian Kewangan dan Bank Negara menolak cadangannya itu ketika sesi Parlimen lalu.

Dalam jawapan bertulis pada 16 Jun lalu, Kementerian Kewangan menyatakan DIBS telah dilarang sejak November 2013, dengan alasan antaranya untuk memelihara kestabilan pasaran hartanah jangka panjang dan mengawal kadar hutang isi rumah.

Jawapan itu juga menyatakan, kerajaan menubuhkan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) yang menyediakan jaminan kemudahan kewangan bagi orang ramai memiliki rumah sendiri, namun hanya untuk hartanah bernilai RM100,000 ke bawah sahaja. – Roketkini.com