Rencana

Konflik terkini di Gaza: Intifadah Ketiga?

gambar AP/Eyad Baba

Dalam sejarah tamadun manusia, peperangan bermula dengan sikap tamak untuk menguasai dan menindas golongan lemah. Peperangan itu persaingan tentang siapa yang lebih gagah – survival of the fittest. Pihak yang kalah akan tenggelam dalam jurang sengsara, yang menang pula menjadi raja.

Konflik Gaza adalah pengalaman panjang perebutan kuasa oleh dua belah pihak. Dalam perang, tiada pemenang nombor dua dan tiada kekalahan yang terakhir. Jadi, usaha untuk menghentikan peperangan adalah usaha yang sukar. Jika kita teliti isu Palestin sedari awal konflik Israel-Palestin, ia tidak lain dan tidak bukan tentang perebutan dua kuasa politik.

Israel memerlukan tanah untuk dijadikan wilayah kekuasaan. Maka, termeterainya Declaration of Balfour 1917 adalah demi memelihara kepentingan geo-politik masyarakat Yahudi semasa British mula mengiktiraf sebuah negara bernama Israel. Masyarakat Arab Palestin, pada sisi yang lain, sama ada mereka beragama Islam atau Kristian, merasakan bahawa kepentingan politik mereka tergugat di akhir-akhir keruntuhan empayar British. Mereka risau akan kehilangan kuasa politik apabila sebahagian tanah mereka diserahkan kepada pendatang Yahudi selepas British keluar daripada wilayah Palestin. Jadi, sebermulanya isu Israel-Palestin adalah seperti yang sering disebut, “War is about business and land.”

Usaha Israel menggagalkan pelan perpaduan PA dan HAMAS

Tragedi penculikan tiga kanak-kanak Israel disebut sebagai punca pergolakan mutakhir di Tebing Barat. Wilayah Tebing Barat berada di bawah penguasaan pihak berkuasa Palestin (PA), di bawah pimpinan Mahmoud Abbas. PA adalah badan politik berfahaman sekular dan secara tradisinya bermusuh dengan HAMAS, sebuah badan politik berorientasikan Islam yang menguasai Semenanjung Gaza.

Jika kita teliti semula peristiwa besar yang tercatat dalam sejarah politik Palestin beberapa minggu lalu, kita akan temui jawapan tentang konflik yang sedang terjadi di Gaza. Azzam El-Ahmed, jurucakap untuk Presiden Mahmoud Abbas, pada 2 Jun lepas memberitahu pihak media bahawa akan ada keputusan besar membabitkan masa depan Palestin. Presiden Mahmoud Abbas mengisytiharkan rundingan ke arah “kerajaan perpaduan” PA-Hamas telah mencapai persetujuan yang kukuh, sekaligus bakal menamatkan perseteruan politik selama lebih tujuh tahun di antara dua badan politik terbesar di Palestin itu.

Keputusan yang dicapai PA untuk membuka ruang kerjasama dengan HAMAS merupakan titik-tolak ke arah pembentukan negara Palestin yang merdeka. Usaha ini dianggap penting supaya kedua-dua pihak dapat mencapai persetujuan bersama dalam memperhalusi usaha damai.

Kebangkitan Intifadah Ketiga

Maka, hal ini amat menakutkan Israel. Peristiwa penculikan tiga kanak-kanak berkenaan adalah wayang untuk menguji sama ada Mahmoud Abbas masih boleh dipercayai dalam sebarang rundingan gencatan senjata di antara Israel dan Palestin. Sebagaimana diwarwarkan menerusi koresponden media asing seperti Washington Post dan New York Times, peristiwa ini dianggap sebagai detik permulaan gelombang Intifadah Ketiga, setelah terjadinya Intifadah Pertama 1987 dan Intifadah Kedua pada hujung September 2000. Intifadah Ketiga ini dianggap bakal menjadi kebangkitan rakyat Palestin melawan Israel paling panjang dalam sejarah.

Rundingan “kerajaan perpaduan” di antara Hamas dan Fatah hampir mencapai kesepakatan setelah berlaku serangan ke atas Gaza. Kita boleh lihat menerusi ucapan Mahmoud Abbas apabila ditanya mengenai konflik di Gaza baru-baru ini. Mahmoud Abbas berkata, “Serangan di Gaza adalah serangan ke atas Palestin!” Perkara ini amatlah mustahil untuk diucapkan oleh Mahmoud Abbas beberapa tahun dahulu.

Kenyataan Mahmoud Abbas yang cenderung untuk menyokong, malah mempertahankan Gaza yang dikuasai Hamas, merupakan tindakan politik yang sangat ditakuti oleh Israel. Kemelut dalaman politik Palestin membabitkan PA dan Hamas merupakan faktor penting untuk Israel kekal berkuasa. Kini, Mahmoud Abbas bukan lagi watak utama yang boleh menjadi boneka Israel. Maka, serangan ke atas Gaza boleh dianggap sebagai respons terhadap pelan perpaduan di antara PA dan Hamas yang sedang berjalan.

Hubungan politik Mesir-Israel

Hubungan Mesir dalam kemelut Israel-Palestin sangat panjang. Mesir merupakan pintu strategik dalam mendepani konflik di Palestin.

Presiden pertama Republik Moden Mesir, Gamal Abdul Nasser, telah melancarkan perang ke atas Israel pada tahun 1967. Dalam tempoh enam hari saja, Tentera Nasionalis Arab di bawah Nasser kecundang di tangan Israel di bawah pimpinan Golda Meir dan Ben Gurion.

Kekalahan Nasser dalam Perang Enam Hari 1967 itu memaksa pemimpin selepasnya, Anwar Saadat, bersikap lebih pragmatik. Sadat memperkenalkan dasar “Infitah” yang bermaksud “membuka pintu kepada dunia”. Pada tahun 1973, Anwar Sadat buat pertama kalinya membuka jalan diplomasi dengan Israel. Ucapan Sadat di hadapan Parlimen Knesset, Israel, yang menyeru kepada perpaduan di antara Arab dan Israel membentuk dinamika baru dalam politik Palestin. Di bawah pemerintahan Sadat dan dasar Infitah, Mesir semakin rapat bersama Israel dan rakyat Palestin terpaksa berjuang bersendirian.

Konflik Gaza kali ini akan menguji sama ada Al-Sisi berpotensi dijadikan sekutu baru Zionis. Hal ini boleh dilihat, antaranya, menerusi tindakan yang bakal diambil Al-Sisi dalam isu sempadan Rafah.

Isu pembukaan-penutupan sempadan Rafah akan menentukan halatuju kerjasama politik di antara Mesir dan Israel. Semenjak Hosni Mubarak memerintah Mesir, penutupan sempadan Rafah merupakan isu yang penting untuk kestabilan Gaza.

Penutupan sempadan Rafah telah menyekat ekonomi masyarakat Palestin di Gaza dan menyebabkan mereka semakin tertekan dengan kadar pengangguran yang tinggi dan sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas Gaza. Penutupan sempadan di Rafah menyebabkan malapetaka buat 1.7 juta penduduk Gaza.

Setakat ini, Benjamin Netanyahu merupakan antara pemimpin pertama yang sedia menawarkan pakej rangsangan ekonomi untuk membangunkan ekonomi Mesir pascarevolusi. Jadi, tidak lama lagi kita akan mengetahui sama ada langkah itu akan mempengaruhi keputusan Al-Sisi dalam isu Rafah.

Kesimpulannya, boleh dikatakan isu penculikan tiga kanak-kanak Israel yang dijadikan alasan untuk memulakan kempen ketenteraan di Gaza sebenarnya, pertama, adalah percubaan Netanyahu untuk menggagalkan projek perpaduan PA dan Hamas yang sedang dalam rundingan fasa kedua. Kedua, untuk melihat halatuju kerjasama Mesir dan Israel di bawah rejim Fattah Al-Sisi. Adakah Al-Sisi akan memilih Nasser atau Sadat? – Roketkini.com