Berita

Kerajaan Johor digesa kembalikan pilihanraya kerajaan tempatan

KLUANG, 14 JUL: Kerajaan negeri Johor digesa mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan bagi memberikan semula hak kepada penduduk tempatan untuk memilih ahli majlis yang bermutu.

Desakan tersebut disuarakan dalam satu kenyataan media bersama Adun Mengkibol Tan Hong Pin, Yang Dipertua PAS kawasan Kluang Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Adun Penggaram Gan Peck Cheng.

Gesaan dibuat susulan penjelasan Majlis Perbandaran Kluang (MPK) bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memberi kuasa kepada NGO Yayasan Perbandaran Kluang mengendalikan bazar Ramadhan di kawasan tersebut.

Hong Pin menegaskan bahawa serah kuasa pengendalian bazar Ramadhan kepada NGO yang dinaungi Adun Mahkota Md Jais Sarday yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan & Koperasi melanggar prinsip ketelusan urustadbir kerajaan tempatan.

“Pilihanraya kerajaan tempatan penting untuk memastikan penduduk tempatan seperti di Kluang mendapat hak mengundi ahli-ahli majlis yang bermutu untuk menyelia MPK,” kata Hong Pin.

Khairul Faizi pula menyifatkan pilihanraya kerajaan tempatan adalah wajar kerana penduduk tempatan membayar cukai.

“Penduduk Kluang membayar cukai sebanyak RM21 juta pada tahun 2012. Tetapi mereka tidak diberi kuasa memilih ahli-ahli majlis,” ujar beliau yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat.

Dalam kenyataan sama, Adun Penggaram Gan Peck Cheng berkata konsep ‘tiada cukai tanpa perwakilan’ (No taxation without representation) adalah slogan penting dalam demokrasi dan pencukaian.

“Untuk menjadikan Kluang dan bandar-bandar lain selesa didiami, kami menyeru kerajaan memulihkan pilihanraya kerajaan tempatan dengan meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976,” tegas Gan.

Pilihanraya kerajaan tempatan yang diadakan sejak sebelum Merdeka di negara ini digantung pada 1965. Pemansuhan pilihanraya peringkat akar umbi itu berkuatkuasa sebaik Akta Kerajaan Tempatan dipinda pada 1976. – Roketkini