Berita

Solidariti Gaza: Pakatan gesa henti runding TPPA, panggil pulang Duta Malaysia di AS

KUALA LUMPUR 14 JUL: Pakatan Rakyat mendesak kerajaan Malaysia menghentikan serta-merta semua perbincangan dan tidak menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sebagai tanda protes terhadap Amerika Syarikat.

“Majlis Setiausaha Agung Pakatan Rakyat yang bermesyuarat hari ini telah membuat beberapa pendirian, pertama khusus mengenai isu serangan Israel ke atas Palestin yang setakat ini telah mengakibatkan pembunuhan lebih 150 warga Palestin termasuk orang awam dan kanak-kanak.

“Kekejaman Israel ini berlaku dengan sokongan padu Amerika Syarikat. Oleh itu Pakatan Rakyat mendesak kerajaan Malaysia supaya menghentikan serta-merta kesemua perbincangan TPPA dan tidak menandatangani perjanjian tersebut sebagai tanda protes terhadap Amerika Syarikat,” tegas kenyataan yang dibaca bersama pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Antara pimpinan yang hadir termasuk Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli, dan Naib Presiden DAP Teresa Kok.

Selain itu, Pakatan Rakyat juga mendesak agar diadakan satu sidang khas Parlimen untuk membincangkan isu serangan ke atas Palestin sebagaimana yang dibuat pada Januari 2009, demi mendengar suara rakyat tentang isu ini.

“Kerajaan Malaysia juga perlu memanggil semula Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat sebagai tanda protes yang paling jelas mengenai isu ini,” tegas kenyataan tersebut.

Agensi berita RT.com melaporkan, sehingga 13 Julai jam 11 malam waktu tempatan, jumlah kematian penduduk di Gaza telah melintasi angka 167 orang dalam operasi Protective Edge yang dilancarkan tentera Zionis Israel dan kini memasuki hari keenam.

Berkenaan perkembangan lain, Pakatan Rakyat menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Korporal Abd Rajah Jamuan, anggota Pasukan Polis Marin yang terkorban akibat serangan hendap kumpulan bersenjata di Pulau Mabul, Sabah, 12 Julai lalu.

Majlis Setiausaha Agung Pakatan Rakyat turut mendoakan keselamatan Konstabel Zakia Aleip yang dipercayai diculik.

Memandangkan insiden pencerobohan kawasan perairan Sabah semakin meningkat, Pakatan Rakyat menggesa kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Tetap Dwipartisan Parlimen untuk mengkaji semula keberkesanan ESSCOM dan ESSZONE.

Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM2 billion untuk membentuk Esscom dan membaiki kemudahan ketenteraan, manakala RM1 bilion diperuntuk bagi menaiktaraf sembilan pos kawalan di Pantai Timur Sabah, namun perairan Sabah masih dibolosi.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengibaratkan serangan penceroboh ke atas Pulau Mabul pada hari yang sama Perdana Menteri membuat lawatan ke Sabah seperti “membaling kasut kepada Najib.” – Roketkini.com