Rencana

The Wakaf Buku: Inisiatif warga peduli

Ketika masih wujud banyak lompong dalam tata urus pendidikan masyarakat, begitu dengan hal-hal berkait yang membesarkan lagi jurang kemudahan antara masyarakat bandar dan luar bandar, muncul kelompok dari tengah Kuala Lumpur menawarkan alternatif – sebuah gagasan yang diperbaharui dengan mengambil kira penuh keperluan dan bukan semata-mata sasaran.

Gagasan yang melahirkan satu lagi projek orang muda peduli, The Wakaf Buku, itu bertitik tolak daripada penekanan terhadap ilmu pengetahuan, pengalaman, dan keseronokan membaca pengasas The Wakaf Buku, Saufi Nizar, atau nama panggilan Muthalib Uthman, 32, dan pengasas bersama, Zulfikri Zamir, 30. Kedua-dua mereka begitu optimis idea wakaf ini akan mendapat dukungan awam.

The Wakaf Buku menjalankan sebahagian daripada tanggunjawab sosial mereka dengan mengurus dan menyediakan perkhidmatan perpustakaan kepada golongan yang kurang bernasib baik dengan memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar, termasuk rumah-rumah anak yatim yang tiada kemudahan perpustakaan. Program wakaf buku pertama telah pun berjaya diluncurkan pada 30 Jun 2014 lalu, bersamaan 1 Ramadan, di Rumah Anak Yatim Firdaus Al Warisi, Teluk Intan, Perak.

Konsep wakaf yang diperbaharui

Dalam pemahaman arus perdana masyarakat Malaysia secara am, perkataan wakaf ini difahami dalam konteks khusus seperti mewakafkan tanah untuk masjid, sekolah, tanah perkuburan, mahu pun mewakaf al-Quran. Namun, usaha bakti wakaf ini tidak berlegar di situ semata-mata kerana pengertian wakaf dalam Islam bersifat lebih sejagat, yakni apa jua perkara yang memberi manfaat umum termasuk kemudahan atau pembangunan ekonomi komuniti menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan.

Disebabkan pemahaman konsep wakaf yang tidak jelas, tidak hairan jika ada pihak pada mulanya bersikap skeptik apabila The Wakaf Buku menguar-uarkan hasrat murni mereka.

Dalam satu temu bual baru-baru ini, Zulfikri berkata program wakaf buku ini secara tidak langsung menjenamakan semula konsep wakaf.

“Seolah-olah apa yang kita buat ini untuk rebranding. Sebab itu kita gunakan perkataan wakaf, tetapi idea utamanya ialah untuk menyampaikan buku-buku ke tempat yang ‘buku tidak sampai’.

“Di sini kita kena berhadapan dengan realiti bahawa masih ada tempat-tempat di pedalaman dan rumah-rumah anak yatim di Malaysia yang belum ada akses kepada perpustakaan,” jelas beliau.

Beri yang terbaik, bukan pusat ‘kitar semula’

Ramai yang beranggapan mereka boleh mewakafkan apa sahaja buku yang tidak lagi diperlukan sebagaimana yang biasa dilakukan seperti menderma baju. Namun tidak sesemberono itu bagi program wakaf buku. Menurut Muthalib, setiap sumbangan kepada mereka yang memerlukan perlulah yang terbaik.

“Bila kita nak menyumbang, kita perlulah sumbangkan yang terbaik. Sesetengah orang dia nak tunggu bulan puasa atau masa-masa tertentu baru dia nak menyumbang, tapi kita mahu ia (sumbangan) berterusan tanpa ikut hari-hari tertentu.

“Kita nak mereka yang dapat buku ni, anak-anak yatim, berasa gembira dapat buku baru,” katanya.

Bagi Zulfikri Zamir, dalam kerangka yang lebih besar, The Wakaf Buku mahu mendidik masyarakat supaya mempunyai kesedaran supaya mereka melakukan sesuatu yang terbaik.

“Kalau nak beri sesuatu, terutamanya kepada mereka yang tinggal di kawasan pedalaman, orang susah, anak-anak yatim, berilah yang terbaik. Sebab, di kalangan masyarakat kita sudah ada satu trend, contohnya kalau bercakap mengenai wakaf buku baru, ada orang yang marah sangat. Dia kata buku di rak rumah dia pun belum baca lagi,” ujar beliau.

Menjelaskan lanjut, Zulfikri menegaskan pertamanya bahawa The Wakaf Buku bukan sebagai pusat kitar semula dan yang keduanya kerana ada penderma buku mendermakan buku-buku yang tidak sesuai seperti buku-buku teks sekolah dan buku-buku lama yang tidak lagi relevan.

“Jadi usaha kita sekarang ni kita bagi buku-buku semasa seperti judul-judul buku PTS, Ana Muslim dan banyak lagi syarikat,” katanya.

Tambah Mutalib pula, dalam memilih bahan bacaan, pihak The Wakaf Buku juga akan dan sedang menjalinkan kerjasama dengan banyak penerbit buku seperti penerbit-penerbit indie termasuklah penerbit buku arus perdana.

“Melalui cara ini, kita boleh dapat buku dengan lebih murah dan sebab tu kita sediakan pakej menderma. Selain menderma buku, mereka yang berminat juga boleh membuar derma melalui tunai.

“Ada dua pakej yang kita tawar kepada individu yang mahu menyumbang iaitu Pakej A sebanyak RM50 dan Pakej B sebanyak RM100,” ujar beliau.

Setakat ini, katanya lagi, respons rata-rata penerbit amat baik dan ada yang ingin terus memberi sumbangan buku.

Pengurusan perpustakaan

Menurut mereka, sebanyak 300 buah buku akan disumbangkan The Wakaf Buku kepada setiap sebuah perpustakaan terdiri dari buku fiksyen bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, komik sains dan penjelajahan, buku-buku cerita agama serta ensiklopedia. Hanya dengan kapasiti 300 buah buku dan ke atas, maka sesebuah ruang itu boleh dipanggil perpustakaan.

Menjawab pertanyaan bagi penyelenggaraan perpustakaan hasil usaha The Wakaf Buku, Muthalib berkata pemantauan akan dilakukan antara tempoh satu hingga enam bulan.

“Kita ada sistem kita, ada yang kita lihat pihak yang lain hantar buku sampai buruk, tak dibaca terbiar. Perkara ni kita akan pantau.

“Di Teluk Intan, kita sudah ada pustakawan kita sendiri dan yang program kita akan datang di Kuala Lipis juga ada pustakawan. Sekarang, The Wakaf Buku ada sekitar 10 pustakawan,” kata Muthalib.

Selain buku, sumbangan orang awam juga akan digunakan bagi menyediakan keperluan perabot seperti rak buku, meja dan kerusi.

Dalam masa terdekat, The Wakaf Buku telah menyasarkan untuk menyediakan 10 buah perpustakaan iaitu di lima kawasan pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak seperti Tuaran, Kapit, Sandakan dan lima perpustakaan lagi di rumah anak yatim.

Inisiatif komuniti prihatin

Dalam rencana ‘Komuniti Buku Jalanan: Aktivisme menerobos ruang awam’, saya menyentuh langsung mengenai proses memasyarakatkan buku yang dianjurkan komuniti Buku Jalanan yang menjalankan tanggungjawab sosial mereka sebagai sebuah Perpustakaan Bergerak yang dilancarkan sejak tahun 1979 dengan tujuan menjadi “pusat pembelajaran dan ilmu pengetahuan bagi membudayakan minat membaca bersama ahli keluarga.” Ia dilihat sebagai satu langkah membudayakan pembacaan di kalangan masyarakat setempat dan mengambil peranan Perpustakaan Bergerak yang tidak lagi kedengaran pada hari ini.

Justeru, program yang dianjurkan The Wakaf Buku merupakan satu lagi inisiatif yang dapat menampung keperluan pengetahuan masyarakat sekitar tanpa perlu bergantung harap kepada pihak yang berwajib. Ia memberi makna yang lebih besar terhadap kemampuan rakyat Malaysia yang semakin prihatin dan merdeka.

The Wakaf Buku boleh dicapai dalam talian di The Wakaf Buku https://www.facebook.com/twb2014

Selamat berwakaf!