Berita

1MDB telah muflis jika tidak kerana muslihat perakaunan

KUALA LUMPUR, 16 JUL: DAP mempersoal kedudukan kewangan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang nampaknya sekadar bergantung kepada penilaian semula asetnya bagi mengelak daripada jatuh muflis.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa Kementerian Kewangan untuk menjelaskan kedudukan 1MDB yang didakwa mencipta keuntungan atas kertas daripada penilaian semula aset hartanahnya.

“1MDB bergantung kepada keuntungan melalui penilaian semula aset sebanyak RM2.7 bilion bagi mencatat keuntungan sebanyak RM778 juta dan tidak menghiraukan kenaikan jumlah keterhutangan yang menjangkau RM42.3 bilion, iaitu hampir mencecah nilai jumlah asetnya sebanyak RM44.7 bilion,” ujar Guan Eng dalam satu kenyataan.

“1MDB sekali lagi menunjukkan bahawa ia tidak menghasilkan keuntungan tanpa mencipta keuntungan atas kertas daripada penilaian semula hartanah,” dakwa Ahli Parlimen Bagan itu.

Menurutnya, bagi tahun kewangan 2013 1MDB mencatat keuntungan selepas cukai sebabnyak RM778.2 juta hasil daripada penilaian semula hartanahnya yang memberikan pulangan RM2.7 bilion.

Tanpa pulangan daripada penilaian semula itu, 1MDB sebenarnya kehilangan RM1.8 bilion.

“Muslihat yang sama turut dilakukan untuk tahun kewangan 2012 apabila 1MDB mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM44.2 juta, hanya selepas membuat pulangan RM599.9 juta daripada langkah penilaian semula aset hartanahnya,” tambah beliau.

1MDB menanggung liabiliti berjumlah RM42.3 bilion, dengan pembayaran tahunan berjumlah RM1.6 bilion, selain kerugian RM1.2 bilion daripada pengambilalihan aset tenaganya. Angka ini jauh lebih besar nilainya berbanding hutang Khazanah sebanyak RM37.4 bilion dan RM4.4 bilion hutang KWSP.

“Ini menimbulkan kebimbangan besar berkenaan daya majunya bagi jangka panjang, termasuk persoalan sama ada hutangnya yang menggunung itu akan akhirnya menyebabkan 1MDB menjadi muflis dan bankrap,” ujar beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Guan Eng turut menimbulkan pelbagai lagi masalah yang ditanggung syarikat pelaburan dan dana kekayaan negara itu, termasuk persoalan tentang kekerapan pertukaran juru audit, yang masuk kali ketiga sejak tahun 2009; kelewatan mengeluarkan laporan audit; premium mahal yang dibayar kepada aset tenaga serantau; sejumlah tunai yang disimpan di institusi pelaburan luar negara; serta kadar faedah tinggi yang dibayar untuk sesetengah terbitan bon.

“Teknik perakaunan kreatif dengan bergantung kepada hasilan penilaian semula hartanah demi mencatat keuntungan mesti dihentikan.

“Kementerian Kewangan mesti mengemukakan soalan-soalan yang betul tentang apa langkah yang diambil oleh pihak pengurusan untuk mengurangkan liabiliti besar 1MDB bernilai RM42.3 bilion,” tegas Guan Eng.

Sejak agensi pelaburan negara itu ditubuhkan pada tahun 2009, 1MDB telah berkembang menjadi sebuah syarikat dana kekayaan negara yang hampir sahaja menandingi saiz Khazanah. Aset 1MDB mencecah RM45 bilion setakat penghujung Mac 2013 berbanding RM64 bilion milik Khazanah. – Roketkini.com