Berita

Larangan tukang masak warga asing di Pulau Pinang untuk jaga keaslian

KUALA LUMPUR, 16 JL: Cadangan larangan kepada warganegara asing menjadi tukang masak di Pulau Pinang dibuat bagi mengekalkan keaslian makanan tempatan, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Menurut beliau, sebagai salah satu daripada tarikan utama pelancong, Pulau Pinang yang terkenal dengan jolokan ‘syurga makanan’ wajar mengekalkan identitinya melalui aneka makanan yang dihasilkan oleh penduduk negeri itu sendiri.

“Makanan adalah budaya dan warisan di Pulau Pinang. Kita nak pastikan kelazatan makanan di negeri ini terjamin. Kalau kawan-kawan datang ke Pulau Pinang pun, mesti nak cari makanan yang dimasak orang tempatan.

“Kita tak mahu rasanya lari atau berubah. Kerana pengunjung yang datang begitu mengambil berat tentang keaslian makanan di negeri ini,” kata Guan Eng selepas jamuan berbuka puasa di ibu pejabat DAP semalam.

Pulau Pinang adalah antara negeri yang paling banyak menerima kemasukan pelancong asing di negara menyasarkan kehadiran 5.5 juta pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Antara tarikan pelancong adalah 13 lokasi pulau peranginan dan pantai selain tapak warisan sejarah dan pusat membeli belah, Pulau Pinang turut terkenal dengan aneka rasa makanan tradisi dari pelbagai suku dan keturunan di Malaysia, antaranya nasi kandar, pasembur, laksa Pulau Pinang, char kuey teow, dan mee udang, selain kudapan seperti jeruk buah dan lain-lain.

Menurut Guan Eng lagi, sekiranya warga asing dibenarkan menjadi tukang masak di Pulau Pinang, tidak ada jaminan keaslian makanan tempatan dapat dikekalkan.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa larangan tersebut hanya terhad kepada penjaja dan peniaga warung makanan agar peluang ekonomi untuk peniaga kecil tempatan terpelihara.

Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan negeri mengalu-alukan sebarang cadangan dan meraikan sebarang idea baru dalam mempromosi industri pelancongan dan makanan di negeri Pulau Mutiara itu.

“Yang penting makanan dimasak oleh orang tempatan. Kalau pekerja asing bekerja sebagai pembantu dan lain-lain, tak mengapa. Keaslian makanan di negeri ini perlu dikekalkan,” ujar Guan Eng. – Roketkini.com