Berita

DAP anjur forum ‘5 tahun selepas pemergian Teoh Beng Hock’ Sabtu ini

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: DAP akan menganjurkan forum bertajuk ‘5 Tahun Selepas Pemergian Teoh Beng Hock’ untuk membincangkan perihal pembangunan hak asasi manusia dan keadilan politik Malaysia sejak kematian Beng Hock.

Penolong Setiausaha Publiti DAP Teo Nie Ching berkata, forum bertempat di Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH), 19 Julai ini, juga dianjurkan dalah sempena ulangtahun kelima kematian misteri Beng Hock yang kekal tidak terjawab.

“Kini disahkan bahawa ketiga-tiga pegawai Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat seperti dinyatakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), telah dibersihkan namanya oleh Pejabat Peguam Negara dan pasukan siasatan khas SPRM.

“Padahal laporan RCI jelas menunjukkan Arman Alies, Mohd Ashraf Mohd Yunus dan Hashim Hishammuddin (bekas Timbalan Pengarah SPRM Selangor) adalah bersalah kerana menggunakan keganasan terhadap Beng Hock.

“Pihak polis sepatutnya sudah memiliki alasan yang cukup kuat untuk memulakan siasatan terhadap ketiga-tiga mereka di bawah Seksyen 304 dan 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai menyatakan, terdapat 10 pegawai SPRM telah memberikan kesaksian palsu semasa prosiding RCI.

“Kesemua mereka seharusnya disiasat di bawah Seksyen 191 dan 192 Kanun Keseksaan kerana memberi keterangan palsu dan mereka-reka bukti untuk melindungi pihak tertentu daripada disabitkan kesalahan.

“Namun, semua mereka, sehingga kini masih tetap bebas,” ujarnya.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang isu ini, orang ramai dijemput hadir ke acara forum yang akan berlangsung pada jam 8 malam, Sabtu ini. -Roketkini.com