Berita

PBB perlu bertindak tegas, jangan sekadar kecam Israel

KUALA LUMPUR, 18 JUL: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) perlu mengambil tindakan yang lebih tegas bagi menghentikan serangan Israel ke atas Gaza, bukan sekadar mengutuk tindakan rejim itu, kata Ketua Pemuda DAP Kebangsaan (DAPSY) Teoh Kok Seong.

“PBB perlu melakukan sesuatu yang lebih efektif untuk menghentikan serangan Israel ke atas Gaza. Tindakan rejim itu tidak berperikemanusiaan dan perlu dibantah semua negara,” katanya ketika ditemui di Perhimpunan Keamanan Gaza di Masjid Negara tadi.

Beliau berpesan agar rakyat Malaysia sentiasa bersama dan menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin yang sekian lama ditindas Israel.

“Hari ini saya turun sebagai tanda solidariti daripada DAPSY terhadap penderitaan rakyat di Gaza. Sebagai rakyat yang cintakan keamanan, kita tidak boleh berdiam diri di saat rakyat yang tidak berdosa dibunuh rejim Israel,” katanya lagi.

Perhimpunan itu disertai Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMK) dan Dewan Pemuda PAS, serta NGO seperti Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram). Turut hadir Setiausaha Politik Ahli Parlimen Gelang Patah Dyana Sofya dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Caves Amiruddin Shari.

Ratusan tandatangan berjaya dikumpulkan sebagai tanda membantah serangan Israel yang telah memasuki hari ke sebelas.

Sementara itu, Dyana Sofya mempersoalkan sikap Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) serta negara-negara jiran di Timur Tengah yang tidak melakukan sebarang tindakan bagi membantu rakyat Palestin.

“Ketika dunia meratapi penindasan terang-terangan ini, negara-negara Arab dan OIC hanya ‘menyepi’. Di manakah mereka? Kenapa tidak membantu Palestin, sedangkan mereka berjiran?

“Rakyat Palestin terus menjadi mangsa. Sifat kemanusiaan dan moral perlu dikembalikan demi kebaikan sejagat serta untuk membantu insan yang terus ditekan kezaliman,” katanya lagi.

Terdahulu, menurut Al-Jazeera, tentera dan kereta kebal Israel sudah mula memasuki Gaza pagi tadi, selepas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengeluarkan arahan serangan darat.

Sehingga kini, jumlah kematian rakyat Palestin mencecah 259 orang, 39 daripadanya adalah kanak-kanak. Jumlah itu juga termasuk 19 yang terkorban dalam satu kejadian pembedilan semalam.

Ribuan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat

Sementara itu, ribuan peserta himpunan aman berkumpul di hadapan bangunan kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, selepas berarak dari Masjid Tabung Haji dan Masjid As-Syakirin KLCC selepas solat Jumaat tadi.

Himpunan dianjurkan bersama Dewan Pemuda PAS dan NGO, antaranya Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Palestine Action Coordination Secretariat (PACS) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Selain membawa sepanduk menyokong rakyat Palestin di Gaza, peserta turut membawa bendera raksasa negara itu. Turut hadir memberikan ucapan adalah Setiausaha DAP Kuala Lumpur yang juga Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng. – Roketkini.com