Berita

Serangan terhadap MH17, DAP gesa siasatan antarabangsa

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: DAP menggesa satu siasatan antarabangsa dilakukan ke atas serangan yang menyebabkan penerbangan Malaysia Airlines MH17 terhempas di ruang udara Ukraine sehingga meragut 298 nyawa.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, kejadian tragik yang mengejutkan ini adalah jenayah terhadap kemanusiaan dan ‘pembunuhnya’ wajib dihadapkan ke muka pengadilan.

“Masyarakat antarabangsa perlu mengutuk dan menuntut siasatan antarabangsa terhadap pembunuhan yang meragut 298 nyawa serta membawanya ke muka pengadilan, tidak kira sama ada pesalahnya adalah Russia, pemisah Ukraine pro-Russia atau Ukraine.

“Pihak berkuasa Malaysia harus melancarkan inisiatif diplomatik antarabangsa segera bagi memastikan setiap sudut insiden disiasat secara komprehensif,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu kata Kit Siang, DAP menyokong seruan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar keadilan ditegakkan buat mangsa pesawat Malaysia Airlines MH17 yang meragut 298 nyawa.

“Seluruh rakyat Malaysia berkabung atas kejadian menyayat hati yang meragut jiwa yang tidak berdosa, termasuk tiga orang bayi, akibat jenayah yang tidak berperikemanusiaan ini,” ujar Kit Siang.

Najib dalam kenyataannya hari ini di Bilik Operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mahu pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan sekiranya benar pesawat MH17 ditembak jatuh.

Penerbangan pesawat Boeing 777 MH 17 berlepas ke Kuala Lumpur dari Amsterdam (Belanda) pada jam 2.14 pagi waktu tempatan dijangka tiba di KLIA jam 6.10 pagi tadi.

Namun, pesawat terbabit yang berada pada ketinggian 33,000 kaki di barat laut Donetsk (Ukraine) kehilangan isyarat dan kemudiannya dilaporkan terhempas di Grabovo, timur Ukraine, dipercayai ditembak jatuh menggunakan sistem peluru berpandu. – Roketkini.com