Berita

Tragedi MH17: DAP ucap takziah

KUALA LUMPUR, 18 JUL: Malaysia sekali lagi menerima ujian getir lewat malam tadi apabila pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 ditembak jatuh di Ukraine berhampiran sempadan Rusia, mengorbankan kesemua 295 orang dalam pesawat tersebut, menurut agensi berita Reuters.

Tragedi ini berlaku hanya kira-kira tiga bulan selepas misteri kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac lalu.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang melalui laman twitternya mengucapkan takziah atas kejadian menggemparkan ini.

“Seluruh negara bersedih dengan tragedi MH17. Takziah paling dalam daripada saya buat keluarga, saudara dan rakan kepada yang terkorban.

“Dunia perlu mengecam (tragedi ini) dan mendesak siasatan antarabangsa terhadap penjenayah yang menyebabkan terhempasnya MH17,” katanya lagi.

Menurut Reuters, pesawat Boeing 777 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu terhempas dekat bandar Donetsk, kubu kuat puak pemisah pro-Rusia.

Pegawai salah sebuah kementerian di Ukraine mendakwa pesawat itu ditembak puak militan di sana, lapor agensi itu lagi.

Namun, ia dinafikan ketua pemisah Aleksander Borodai yang memberitahu stesen milik kerajaan Rusia Rossiya 24 TV bahawa ia ditembak Ukraine Air Force.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pula menyifatkan kejadian itu sebagai kejutan yang menyedihkan, serta mendoakan yang terbaik kepada yang terlibat.

“Berita sedih dan mengejutkan tentang MH17. Kita semua merasa amat sedih dengan kehilangan 15 krew dan 280 penumpang…Iringan doa untuk mereka,” katanya di laman twitter.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke Siew Fook pula menerusi laman Facebooknya memaklumkan beliau sendiri pernah menaiki pesawat MH17 Januari lalu.

“Saya merasa sangat sedih dengan tragedi ini. Saya sendiri menaiki MH17 pada 18 Januari lalu bersama Ahli-ahli Parlimen lain selepas menyertai persidangan di Mexico. Saya sedikit-sebanyak dapat merasakan kepedihan semua keluarga penumpang MH17 terbabit,” katanya.