Berita

DAP mohon sidang tergempar turut bincang misteri MH370

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Menyambut baik sidang tergempar Parlimen diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Rabu depan, fokus perbahasan tidak harus berkisar berhubung bencana MH17, tapi juga kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, mesyuarat tergempar Rabu ini perlu mempunyai dua usul berasingan kerana dalam tempoh kurang lima bulan, dua kali bencana udara menimpa Malaysia oleh syarikat penerbangan sama yang meragut 537 nyawa daripada 10 negara.

“Terdapat perbezaan besar antara bencana MH370 yang melibatkan kehilangan 239 penumpang bersama anak kapal dan MH17, 298 penumpang serta anak kapal.

“Pertama, MH17 adalah satu jenayah kejam terhadap kemanusiaan dan MH370 pula masih kekal sebagai misteri walaupun melibatkan usaha mencari terbesar dan paling lama (masih berjalan) dalam sejarah’,” katanya dalam satu kenyataan.

“Keluarga, saudara dan rakan-rakan mangsa MH17 sudah mengetahui pengakhirannya biarpun masih menuntut keadilan terhadap pelaku jenayah yang menembak pesawat terbabit, tapi dalam kes MH370, pengakhiran belum terjawab.

“Pengumuman Najib 24 Mac lalu bahawa M370 ‘berakhir’ di selatan Lautan Hindi terbukti merupakan ‘pengakhiran tanpa pengakhiran,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Tegasnya selain usul berasingan, sebuah Jawatan Kuasa Pilihan Parlimen (PSC) diketuai pembangkang harus ditubuhkan untuk menyiasat kesemua aspek tragedi bencana udara ini.

Beliau turut mengkritik tindakan pentadbiran Najib yang sebelum ini berdegil tidak mahu mengadakan sidang tergempar Parlimen berhubung tragedi MH370 walaupun digesa berulang kali.

“Saya tidak teragak-agak untuk menyambut baik sidang tergempar Parlimen. Tapi amat malang kerana sebelum ini dalam kes MH370 telah berulang kali kerajaan digesa melakukannya.

“Namun percubaan berulang kali itu tidak menerima sebarang sokongan atau respon sama ada dari Najib atau Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein,” tegasnya.

Kesemua Ahli Parlimen telah menerima notis mesyuarat tergempar Rabu ini pada 17 Julai lalu yang dihantar melalui Setiausaha Parlimen Datuk Roosme Hamzah.

Dalam perutusan khas semalam, Najib berkata sidang Parlimen tergempar yang diadakan Rabu depan bagi menyatakan pendirian tegas kerajaan mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan ke atas pesawat MH17 yang dipercayai ditembak jatuh di Ukraine. – Roketkini.com