Berita

Penggerak masyarakat sivil sokong penuh usaha Negara-ku

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Sekumpulan individu penggerak masyarakat sivil semalam menyatakan sokongan penuh terhadap gerakan Negara-ku (Gerakan Rakyat Untuk Menebus Kembali Negara Malaysia) dalam agenda mereka untuk memulih dan mengembalikan harapan ke arah kebersamaan antara rakyat Malaysia.

“Malaysia kini berada di tengah cabaran dan perubahan, di mana ia menuntut semua rakyat berdiri bersama-sama untuk melawan perkauman dan ketaksuban keagamaan,” kata Pensyarah Undang-Undang Universiti Malaya Profesor Madya Dr Azmi Sharom dalam sidang media di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH), petang semalam.

Sehubungan itu, beliau juga menyeru semua rakyat, termasuk pemimpin politik negara, untuk memberi sokongan terhadap Negara-ku dan menandatangani piagam gerakan tersebut untuk memelihara keharmonian dan kedamaian dalam kehidupan seharian semua warga Malaysia.

“Untuk melindungi perpaduan kaum, berbilang agama dan budaya, kita mesti menentang pihak yang berusaha memusnahkan Malaysia kerana ia bertentangan dengan prinsip-prinsip yang terkandung dalam perlembagaan dan perjanjian Malaysia 1963,” ujarnya membacakan kenyataan yang ditandatangani bersama 24 individu lain.

Selain Azmi, turut hadir dalam sidang media tadi adalah Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Negara-ku Zaid Kamaruddin, Penaung Negara-ku A Samad Said, Pengurus Besar Gerak Budaya Chong Ton Sin, Pengarah Pusat Inisiatif Dasar Dr Lim Teck Ghee, pakar perundangan Profesor Gurdial Singh Nijar dan lain lagi.

Bagi bekas tahanan ISA Chong Tong Sin, atau dikenali di kalangan aktivis masyarakat sebagai Pak Chong, beliau memilih untuk menyokong inisiatif gerakan Negara-ku kerana sudah muak dan penat dengan dakyah-dakyah perkauman sempit dan ektremis yang begitu merunsingkan di Malaysia.

“Pada saya, inilah masanya kita menentang perkauman sempit dan ektremis yang tidak membawa apa-apa hasil dan malah lebih memecahbelahkan keharmonian.

“Membasmi kedua-dua ini adalah tanggungjawab yang wajib untuk semua rakyat bagi memastikan negara ke arah lebih baik di masa depan,” katanya.

Dua puluh empat individu lain yang turut menandatangani kenyataan sokongan antaranya ialah Pengarah Projek Musawah Zainah Anwar, Pakar Sains Politik Dr Wong Chin Huat, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS Wan Saiful Wan Jan, peguam Art Harun, produser Radio BFM Sharaad Kuttan dan peguam hak asasi manusia Malik Imtiaz Sarwar. -Roketkini.com