Berita

Pimpinan DAP adakan acara nyalaan lilin ringkas untuk mangsa MH17

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Pimpinan DAP semalam telah mengadakan acara nyalaan lilin sebagai pernyataan sedih dan simpati terhadap nasib 298 orang mangsa yang terbunuh dalam kejadian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 terhempas di Ukraine.

Acara singkat di perkarangan letak kereta Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH) itu yang bermula pada jam 7.30 petang dan disertai sekitar 40 orang juga bertujuan untuk menggesa agar keadilan diberikan kepada keluarga mereka.

Antara pimpinan tertinggi himpunan nyalaan lilin itu ialah Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Pemangku Pengerusi DAP Tan Kok Wai, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.

Berucap di hadapan hadirin dalam majlis tersebut, Gobind menyatakan, beliau amat terkejut dengan kejadian yang berlaku tiga hari lalu itu dan mahu pihak bertanggungjawab diadili.

“Kami semua mahu mereka yang bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam ini dibawa ke muka pengadilan. Individu yang terlibat mesti dikenal pasti dan siasatan antarabangsa harus dilakukan.

“Sebagai rakyat Malaysia, kami juga mengharapkan akses penuh dapat diberikan mengenai segala maklumat yang dikumpul daripada hasil siasatan nanti,” katanya.

 Beliau menegaskan, perkara utama yang wajib ditunaikan dengan segera dalam kejadian jenayah kemanusiaan ini adalah keadilan.

 Nie Ching pula menyifatkan tindakan menembak jatuh pesawat MH17 hingga mengakibatkan nyawa tiga orang bayi melayang sebagai perbuatan terkutuk yang dilakukan oleh pihak yang mementingkan diri.

Selain berdoa, bertafakur serta menyusun lilin, ada di antara peserta menyusun kadbod dengan tampalan beberapa keratan akhbar mengenai insiden MH17, antara mesej yang tertera adalah seperti ‘Takziah’, ‘Keadilan untuk MH17’, ‘Siapa Pembunuh?’ dan ‘Angkara Siapa’.

Pesawat Boeing 777 MH17 yang berlepas ke Kuala Lumpur dari Amsterdam (Belanda), 18 Julai lalu, telah terhempas di Grabovo, timur Ukraine.

 Pesawat yang bertolak pada jam 2.14 pagi waktu tempatan itu dan sepatutnya tiba di KLIA jam 6.10 pagi dipercayai telah ditembak jatuh menggunakan sistem peluru berpandu, mengakibatkan 43 rakyat Malaysia terkorban. -Roketkini.com