IPOH, 20 JUL: Sempena memperingati tragedi terhempasnya pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, Pemuda DAP (DAPSY) Perak akan mengadakan himpunan ‘sekuntum bunga, solidariti buat MH17’ pada hari Selasa, 22 Julai di Dataran KTM, Ipoh.
Menurut Howard Lee, Setiausaha DAPSY Perak, majlis tersebut juga bertujuan mendorong masyarakat antarabangsa supaya memberi tekanan kepada pihak berkenaan agar keadilan dituntut kembali dan kebenaran di sebalik kejadian dapat ditemukan.
“Beberapa artis tempatan telah dijemput dan akan menyampaikan lagu untuk memperingati mangsa tragedi yang gugur.
“Para penyajak, penyair, penyanyi dan artis juga dijemput hadir kerana ruang akan dibuka kepada sesiapa sahaja yang ingin berekspresi dan menyatakan sokongan mereka melalui cara masing-masing,” kata Howard dalam kenyataan.
Tambahnya, program akan bermula jam 9 malam dan hadirin dijemput membawa sekuntum bunga pilihan sendiri sebagai tanda solidariti bersama ahli keluarga mereka yang terkorban dalam tragedi hitam yang berlaku 17 Julai lalu.
“Semua warga Malaysia, khususnya anak-anak Perak dijemput hadir beramai ramai dan berkumpul berhampiran pancuran air di Dataran KTM,” maklum Howard. – Rooketkini.com