Berita

Lima tahun selepas pemergian Beng Hock, krisis hak asasi membarah

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Ketika pemergian Teoh Beng Hock menjelang genap lima tahun dan pengetahuan berhubung isu hak asasi manusia di Malaysia sedikit meningkat, masih banyak yang perlu diperbaiki untuk menegakkan demokrasi di negara ini.

Peguam Hak Asasi Syahredzan Johan berkata, ugutan dan penderaan fizikal pihak berkuasa untuk menakutkan rakyat dilihat tidak lagi berkesan, malah ramai di antara mereka semakin sedar dan mahu menyertai perjuangan untuk menegakkan kebenaran.

Namun menurut Syahredzan, isu kebebasan bersuara dan ektremisme agama nampaknya bertambah buruk terutamanya selepas Umno-BN hilang majoriti dua pertiga kerusi Parlimen sejak tahun 2008

“Selepas lima tahun, semakin ramai rakyat Malaysia yang berani keluar dalam pelbagai siri himpunan, ini jelas menunjukkan bahawa kesedaran kita semakin meningkat dan sanggup bersuara menyatakan haknya seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Malangnya kes kematian dalam tahanan pula meningkat. Setakat tahun ini sahaja, terdapat sepuluh kes sedemikian dilaporkan,” katanya dalam forum ‘Lima Tahun Selepas Pemergian Teoh Beng Hock: Hak Asasi Manusia dan Keadilan Politik’ di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH), semalam.

Syahredzan juga membidas tindakan berat sebelah polis dan pendakwa yang menggunakan Akta Hasutan untuk menutup mulut penentang dasar kerajaan, sebaliknya mendiamkan diri terhadap kumpulan pelampau ekstrem kaum dan agama.

“Amat menghairankan apabila tidak ada sebarang tindakan dikenakan terhadap organisasi seperti Perkasa, Isma, dan beberapa pimpinan Umno yang mengeluarkan ucapan menghasut serta penuh kebencian.

“Apa yang mereka lakukan itu tidak pula dianggap sebagai menghasut,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyatakan rasa kesal dengan sikap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang memungkiri janji untuk melakukan segala yang mungkin bagi mencari punca kematian.

“Kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini bahawa ketiga-tiga pegawai terlibat, seperti dinyatakan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), dibersihkan namanya memeranjatkan dan tidak boleh diterima sama sekali,” kata Kit Siang

Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Beng Hock, pula menyatakan, individu yang menyebabkan kematian semasa siasatan sepatutnya tidak dilepaskan begitu saja dan dikenakan tindakan sewajarnya.

“Suspek jenayah itu harus bertanggungjawab dan keluarga mangsa perlu diberikan akses penuh kepada maklumat untuk membolehkan mereka mengambil tindakan undang-undang selanjutnya.

“Pegawai penyiasat wajar diberi kuasa untuk menjalankan siasatan bebas dengan bantuan kakitangan sokongan seperti pakar patologi forensik.

“Tetapi dalam kes ini hal sebaliknya yang terjadi apabila polis dilihat membantu defendan yang menyebabkan kematian,” tegasnya. -Roketkini.com