Berita

Kaji semula caj kenderaan Singapura, bimbang ‘yang terkena’ rakyat sendiri

JOHOR BAHRU, 22 JUL: Kerajaan Pusat dan Johor yang diterajui BN wajar melakukan penelitian menyeluruh sebelum melaksanakan dasar Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) kepada kenderaan Singapura bagi mengurangkan kesan buruk terhadap ekonomi tempatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Senai Wong Shu Qi berkata, sesuatu dasar tidak boleh dilaksanakan tanpa rundingan bersama masyarakat berserta kajian menyeluruh, lebih-lebih lagi dasar yang digubal bakal memberi kesan terhadap ekonomi warga tempatan.

Menurut Shu Qi, sebahagian besar pekerja Malaysia di Singapura tidak mempunyai pilihan selain berulang-alik setiap hari menggunakan kenderaan persendirian akibat kekurangan akses kepada sistem pengangkutan awam ke tempat kerja.

“Untuk memahami kesan dari pelaksanaan VEP dalam skala besar kepada ekonomi Johor Bahru, kerajaan Pusat harus mendedahkan jumlah kenderaan yang berdaftar di Singapura yang berulang-alik setiap hari.

“Selain itu, jumlah warga Malaysia yang menggunakan kenderaan berdaftar di Singapura mesti didedahkan kerana mereka ini adalah kelompok pertama yang akan mendapat kesan.

“Mereka menjadi korban akibat sikap kedua-dua negara yang seolah-olah bersaing untuk melaksanakan dasar yang bercanggah dengan kebajikan rakyat,” kata Shu Qi dalam satu kenyataan.

Lembaga Pengangkutan Darat (LTA) Singapura mengumumkan bermula 1 Ogos, bayaran Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) bagi kenderaan asing berdaftar ke republik itu akan dinaikkan daripada S$20 kepada S$35 sehari (RM50 ke RM90)

Pada masa yang sama, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersetuju dengan cadangan kerajaan Johor mengenakan caj VEP sebanyak RM20 kepada kenderaan asing dari Singapura memasuki negeri itu.

Kenderaan plat Singapura dipandu rakyat Malaysia

New Straits Times sebelum ini melaporkan statistik dikeluarkan pihak berkuasa Johor bahawa kira-kira 33.5 juta kenderaan menggunakan Linkedua di Gelang Patah dan hampir lima juta kenderaan menggunakan Tambak Johor dari tempoh Januari sehingga Jun tahun ini.

“Kira-kira 184,000 kenderaan menggunakan Linkedua dan 26,000 kendaraan menggunakan Tambak Johor setiap hari.

“Angka-angka ini penting agar pembuat undang-undang dapat membuat keputusan bagi kerajaan Malaysia menetapkan kadar VEP. Sekiranya kajian tidak dibuat, keputusan dilihat hanya sebagai reaksi emosional dan tindakan balas,” kata Shu Qi.

Tambahnya, caj dikenakan keatas kenderaan berdaftar di Singapura akan merugikan ekonomi penduduk tempatan apabila pendapatan boleh guna rakyat Malaysia yang membawa kenderaan berdaftar Singapura, sedangkan mereka bermastautin dan berbelanja di Johor Bahru.

Berdasarkan kiraan 20 hari bekerja, pendapatan bulanan mereka akan berkurangan sebanyak RM400 atau RM1,000 jika kerajaan mengenakan caj RM20 atau RM50, setiap hari.

“Pentadbiran BN seharusnya memperbaiki prasarana pengangkutan awam di Johor Bahru seiring pelaksanaan caj VEP bagi mengurangkan kesan ekonomi.

“Gagalnya rangkaian pengangkutan awam antara rumah dan tempat kerja adalah sebab utama mengapa orang ramai menggunakan kenderaan sendiri ke tempat kerja,” kata Shu Qi.

Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan kedua-dua negara bertanggungjawab menangani masalah ini, antaranya dengan meningkatkan kekerapan perjalanan bas antara Johor Bahru dan Woodlands di Singapura sebanyak dua kali ganda pada waktu puncak.

“Jika tidak dilakukan, kita akan melihat peningkatan jumlah pengguna motosikal dan kecelakaan jalanraya jika sistem pengangkutan awam tidak diperbaiki. Pemerintah Singapura juga wajar mengusulkan cadangan jika serius ingin mengurangkan kesesakan jalan raya di negara mereka.

“Kedua-dua pemerintah Singapura dan Malaysia harus bekerjasama untuk menyelesaikan masalah kesesakan jalanraya dan tidak memberikan reaksi spontan dan tindak balas yang tidak menguntungkan mana-mana pihak,” tegas Shu Qi. – Roketkini.com