Berita

MH17: ‘Harapan utama keluarga agar jenazah dipulangkan’

JOHOR BAHRU, 21 JUL: Keluarga mangsa tragedi Penerbangan Malaysia MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine berharap agar jenazah mereka yang terkorban dalam insiden tersebut dipulangkan ke tanahair.

Perkara itu dinyatakan keluarga Allahyarham Md Ali Md Salim dan Hasni Hardi kepada Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong ketika lawatan pimpinan Pakatan Rakyat negeri itu ke rumah keluarganya di Pagoh dan Segamat hari ini.

“Ini adalah harapan paling utama, agar jenazah mereka dipulangkan secepat mungkin untuk disemadikan,” kata Chin Tong sambil memberitahu bahawa lawatan itu dibuat bagi menyampaikan ucapan takziah serta mendengar sendiri luahan hati keluarga yang merasai kehilangan anak mereka.

Hadir sama Pesuruhjaya PAS negeri Amirulhuda Hasan dan Timbalan Setiausaha Agung PKR Steven Choong.

“Menurut keluarga, Hasni adalah jurutera dalam bidang minyak dan gas di sebuah syarikat di Jerman. Tentulah kehilangan ini amat dirasai memandangkan arwah banyak membantu keluarga.

“Menurut mereka lagi, Hasni adalah pelajar yang sentiasa cemerlang dalam pelajaran, paling baik dalam keluarga,” kata Ahli Parlimen Kluang itu kepada Roketkini.

“Begitu juga dengan arwah Md Ali, yang merupakan penuntut jurusan psikologi di University of Amsterdam.

“Bapa Md Ali banyak bercerita tentang anaknya yang menuntut di Amsterdam. Kita benar-benar merasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada mereka,” katanya lagi.

Tragedi yang berlaku pada 17 Julai itu mengorbankan kesemua 298 penumpang yang menaiki pesawat Boeing 777. Menurut laporan Reuters, kerajaan Ukraine menyatakan sejumlah 251 mayat dan 86 serpihan anggota badan dijumpai di kawasan nahas setakat semalam.

“Namun ada laporan menyatakan jenazah tidak boleh dibawa keluar kerana disekat pengganas,” katanya merujuk kepada laporan bahawa jenazah diletakkan dalam peti sejuk dalam kereta api yang disekat pengganas di bandar Torez.

Justeru, beliau berharap Malaysia dan negara-negara terlibat dapat memberikan tekanan yang lebih kuat kepada puak pengganas pro-Russia tersebut.

“Terutama dalam perkara ini (pemulangan jenazah), keluarga inginkan penamat (closure) bagi episod sedih ini. Mereka menantikan jenazah ahli keluarga mereka dikembalikan,” katanya lagi. – Roketkini.com