Berita

Islam tak terancam di Pulau Pinang, bekas Ketua Hakim disaran semak fakta

GEORGE TOWN, 23 JUL: Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad disaran untuk menyemak fakta dan merujuk bukti sahih sebelum membuat sebarang spekulasi kononnya kedudukan agama Islam dan terancam di Pulau Pinang.

Ketua Pemuda DAP Bukit Bendera, Haris Zuan Jaharudin mengingatkan Abdul Hamid supaya tidak terjebak dalam politik fitnah yang hanya merendahkan dirinya sebagai Bekas Ketua Hakim Negara.

“Saya yakin jika Tun Abdul Hamid Mohamad menyemak fakta akan mendapati syiar Islam bukan sahaja terpelihara, malah saban tahun mendapat tambahan peruntukan yang sangat tinggi, peningkatan 300% berbanding zaman pentadbiran BN,” kata Haris Zuan dalam kenyataannya hari ini.

Beliau membidas kenyataan Hamid sebelum ini yang memetik mantan Mufti Pulau Pinang kononnya terdapat kesukaran bagi mendapatkan peruntukan untuk kegiatan agama Islam di Pulau Pinang.

Haris Zuan menjelaskan, kutipan dan agihan zakat negeri meningkat berkali ganda. Pada tahun 2007 agihan zakat Kerajaan Negeri Pulau Pinang berjumlah RM34.5 juta, berbanding pada 2013 di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat, agihan zakat meningkat kepada RM73.1 juta.

Malah kerajaan negeri memberikan sumbangan Ehya Ramadan sebanyak RM222,000 kepada semua masjid dan surau utama di seluruh negeri sempena Ramadhan tahun ini.

Menurut Haris Zuan, kerajaan negeri turut menganugerahkan tanah seluas 3.49 ekar di Bukit Gantong/Jalan Scotland yang berkedudukan strategik dengan nilai RM100 juta bagi membina Kompleks Mahkamah Syariah yang dijangka siap sepenuhnya sebelum akhir tahun ini.

Manakala program keilmuan giat dianjurkan menerusi Penang Institute termasuk siri Forum Nusantara bertujuan mengangkat ilmuan Pulau Pinang seperti Syed Sheikh Al-Hadi, Tuan Haji Yusuf Rawa, dan Tuan Guru Abdullah Fahim serta membincangkan tema besar berhubung gerakan Islah dan kebudayaan Melayu Islam di Pulau Pinang.

“Malah, Penang Institute juga pernah membawa ilmuan kontemporari dunia Islam, Prof Tariq Ramadhan ke Pulau Pinang,” katanya.

“Berdasarkan fakta ringkas ini, jelas bahawa Islam sentiasa dimartabatkan di Pulau Pinang. Saya berharap Tun Abdul Hamid Mohamad dapat menyemak dan membetulkan semula kenyataan yang telah beliau buat,” kata Haris Zuan. – Roketkini.com