Berita

Tubuh RCI, bentang kertas putih siasat tragedi MH17 & MH370

KUALA LUMPUR, 23 JUL: Kerajaan disaran menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) dan membentangkan Kertas Putih bagi menyiasat tragedi yang menimpa MH17 dan MH370.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim juga mencadangkan RCI dan pembentangan kertas putih bagi kedua-dua tragedi tersebut dilakukan dalam tempoh empat bulan.

“(PSC dan Kertas Putih) adalah bagi menjawab tuduhan palsu terhadap Malaysia Airlines (MAS). Ada media asing cuba menyalahkan juruterbang MH17 yang terbang 200 batu daripada laluan asal, juga kerana memandu dalam zon konflik.

“Saya menyeru kerajaan menafikan semua tohmahan ini di media antarabangsa demi memelihara nama baik juruterbang dan penerbangan kita,” katanya dalam perbahasan sidang khas Parlimen hari ini.

Pada hari kejadian 17 Julai lalu, laluan diguna MH17 diisytihar selamat oleh International Civil Aviation Organisation (ICAO). Malah, pesawat Singapore Airlines dan India Airlines masing-masing terbang pada jarak kurang dari 32 kilometer dan 25 kilometer daripada  MH17.

Dalam kejadian tersebut, Pesawat MH17 yang terbang setinggi 30,000 kaki di atas kawasan berkonflik Ukraine-Rusia ditembak jatuh sehingga mengorbankan 298 nyawa.

Pakatan Rakyat sebelum ini mengecam serangan tersebut dan mendesak kerajaan mengambil langkah perlu untuk mengheret pelaku jenayah terhadap pesawat MH17 ke muka pengadilan.

Dalam pada itu, Teresa turut menggesa Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) agar meningkatkan jumlah faedah pengurusan mayat kepada waris dan tanggungan anak kapal yang terkorban, selain Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat.

Elak laluan konflik

“Faedah pengurusan mayat berjumlah RM1,500 adalah terlalu rendah. Saya meminta Perkeso menambahkan jumlahnya. Jika Perkeso tidak dapat berbuat demikian, pihak kerajaan dan MAS perlu membantu ahli keluarga dalam aspek ini,” katanya lagi.

Menurut Bernama, Menteri Sumber Manusia Datuk Richard Riot sebelum ini memaklumkan, waris kepada 15 anak kapal layak menerima bayaran di bawah Skim Bencana Pekerjaan manakala waris kepada 28 penumpang menerima bayaran melalui Skim Pencen Ilat.

Naib Presiden DAP itu juga meminta MAS mengelak daripada menggunakan ruang udara kawasan peperangan, termasuk ruang udara Iraq yang kini bergolak ekoran kegiatan militan Islamic State for Iraq and the Levant (ISIL).

“Ia melibatkan lebih perbelanjaan kos, namun keselamatan pesawat kita adalah lebih penting,” katanya lagi. – Roketkini.com