Berita

Tubuh RCI, siasat penghakiman mahkamah Malaysia mulai 1986

KUALA LUMPUR, 15 JUL: Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat pengadilan mahkamah di Malaysia semenjak 26 tahun lalu, selepas krisis kehakiman pada 1988.

Kit Siang membuat gesaan tersebut berikutan kenyataan kontroversi bekas Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Noor Abdullah dan bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad yang mengganggu semangat perpaduan, keharmonian dan muhibah antara pelbagai kaum dan agama di negara ini, antaranya ucapan Mohd Noor Abdullah dalam forum ‘Post-Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah’.

Dalam forum anjuran Alumni UiTM Malaysia dan Gabungan Pelajar Melayu Semanjung (GPMS) di Kuala Lumpur pada Mei 2013 lalu itu Mohd Noor dilaporkan berkata, “pengkhianatan orang Cina terhadap ikatan setiakawan orang Melayu adalah benar, kerana mereka merancang untuk merampas kuasa politik setelah membolot kuasa ekonomi.”

Tambah mengejutkan kata Kit Siang, Mohd Noor beralasan ucapannya “kukuh secara keseluruhan dan dalam batas-batas Perlembagaan Persekutuan,” dan sesuai dengan keahliannya sebagai bekas hakim.

“Sehingga sekarang, Mohd Noor masih gagal memetik bab, ayat, artikel atau bahagian dari Perlembagaan Malaysia yang membenarkannya membuat kenyataan tidak bertanggungjawab. Ia reka-rekaan, mengapi-apikan, bersifat perkauman dan menghasut,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Justeru itu, beliau mengingatkan Mohd Noor bahawa Pakatan Rakyat meraih lebih banyak sokongan orang Melayu dibandingkan orang Cina pada PRU-13 di Semenanjung Malaysia, meskipun dengan jurang kecil iaitu 2.31 juta pengundi Melayu menyokong berbanding 2.29 juta pengundi Cina.

Tambah memalukan profesion kehakiman, kata Kit Siang, apabila Mohd Noor mencipta ketakutan dan berniat jahat apabila memomokkan bahawa dengan majoriti mudah di Parlimen, mencukupi untuk membawa masuk Singapura ke dalam Persekutuan Malaysia tanpa mendapatkan persetujuan Majlis Raja-Raja.

“Bagaimana bekas pegawai tinggi kehakiman boleh menyatakan bahawa Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan pada bahagian ‘Nama, Negeri-negeri dan wilayah-wilayah Persekutuan’ boleh dipinda melalui majoriti mudah, bukannya majoriti di Parlimen?” ujar Kit Siang.

Penghakiman Tun Abdul Hamid prejudis?

Menurut Kit Siang, berlaku prejudis kaum dan agama dalam keputusan kes sivil yang didengar ketika Tun Abdul Hamid menjadi hakim Mahkamah Tinggi pada 1990-an.

Dalam kes itu, bank menyaman dua rakan kongsi perniagaan, seorang Melayu dan seorang India, penjamin bagi satu pinjaman. Kedua-dua defendan bergantung kepada pembelaan yang tandatangan mereka dipalsukan pihak ketiga.

Hamid yang menulis penghakiman menerima hujah defendan berbangsa Melayu kerana ‘sebagai seorang Muslim dia tidak akan berbohong”. sebaliknya menolak hujah defendan berbangsa India.

Difahamkan, kes tersebut difailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi dan penghakiman Hamid diketepikan selain pengadilan semula diarah untuk dijalankan.

Justeru kata Kit Siang ini membangkitkan kebimbangan orang ramai mengenai kebebasan, profesionalisme dan kewibawaan kehakiman selepas krisis kehakiman pertama pada tahun 1988 yang berakhir dengan pemecatan Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Salleh Abas dan dua Hakim Mahkamah Tinggi oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad,

“Ini menandakan kemuncak campur tangan eksekutif dan keruntuhan kebebasan institusi kehakiman di Malaysia. Yang diperlukan saat ini adalah untuk mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap kebebasan, profesionalisme dan kewibawaan kehakiman,” tegas Kit Siang – Roketkini.com