Berita

DAP Sabah sokong penegasan semula tujuh perkara Pelan Borneo

KOTA KINABALU, 25 JUL: Adun Sri Tanjong Chan Foong Hin menyokong penegasan semula tujuh perkara dalam Pelan Borneo seperti dinyatakan Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertemuan ulangtahun ke-51 Kemerdekaan Sarawak di Kuching 22 Julai lalu.

Menurut Adun dari Sabah itu, suatu detik bersejarah apabila pemimpin pembangkang Persekutuan merayakan ulang tahun Sarawak ke-51, membuktikan penghargaan Pakatan Rakyat terhadap penyertaan Borneo dalam pembentukan Malaysia.

“Tidak ada Malaysia tanpa Sarawak dan Sabah, manakala keragaman budaya, masyarakat, dan agama di Sarawak dan Sabah mewujudkan konsep Malaysia sebagai sebuah bangsa.

“DAP Sabah akan terus bekerjasama dengan semua komponen Pakatan Rakyat Sabah bagi mendapatkan persetujuan secara muafakat bagi meletakkan kepentingan Sabah dan Malaysia mengatasi perhitungan pilihanraya parti mana pun,” kata Chan dalam kenyataannya, hari ini.

Antara tujuh perkara terkandung dalam Pelan Borneo yang digariskan Pakatan Rakyat dalam majlis ulangtahun itu ialah mengakui semangat Persekutuan yang ditandatangani pada 1963 dan kini dikenali sebagai Perjanjian Malaysia.

Antara penegasan lain yang terkandung dalam Pelan Borneo:

– Menjunjung Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan yang menyatukan semua warga Malaysia dari semua agama dan kaum.

– Memperakui tiga hari Nasional: 31 Ogos sebagai Hari Kemerdekaan untuk Malaysia dan Sabah, 22 Julai sebagai Hari Kemerdekaan Sarawak dan 16 September sebagai Hari Malaysia.

– Reformasi ekonomi dan pembangunan sebaik saja Pakatan Rakyat membentuk pentadbiran baru dengan perkongsian kemakmuran Pusat-Negeri dan meletakkan Pengarah Petronas dari Sabah dan Sarawak selain pembangunan syarikat minyak negeri dan hak royalti 20 peratus.

– Menubuhkan Suruhanjaya di Sabah dan Sarawak yang bertanggungjawab kepada Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bagi membetulkan dan mencegah pemberian hak kepada warga asing, selain langkah keselamatan sempadan di kedua-dua negeri Borneo itu.

– Memastikan hak Orang Asal terhadap tanah adat dan alam sekitar melalui insititusi berperwakilan daripada setiap komuniti yang bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri.

– Berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963, memastikan penglibatan dan pengambilan lebih ramai anak Borneo ke dalam pentadbiran tanpa diskriminasi, pelantikan ke jawatan penting termasuk Pesuruhjaya Tinggi dan Kedutaan selain biasiswa pendidikan.

– Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi mengkaji hubungan antara negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia dari tahun pertama Kerajaan Persekutuan yang baru dalam masa tiga tahun, bertujuan memberi nafas baru sebelum pilihanraya umum ke-15.

Tambah Chan, DAP percaya kepentingan dan hak negeri Sabah dan Sarawak hanya dapat dicapai melalui perubahan kerajaan di peringkat persekutuan yang memerlukan kesepaduan Pakatan Rakyat baik di peringkat Pusat mahu pun negeri.

Beliau bimbang pertelingkahan dalam Pakatan Rakyat hanya memperkukuh kedudukan Umno dan menjadikan proksi mereka yang ekstrem seperti Perkasa dan Isma merosakkan struktur sosial Malaysia.

Chan turut menyuarakan kebimbangan terhadap kesan atas hubungan dalam Pakatan Rakyat dan juga antara penganut Islam dan Kristian susulan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas pejabat Persatuan Bible Selangor (BSM) awal tahun ini.

Dalam masa sama, beliau turut berharap agar isu cadangan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah di Kelantan melalui usul rang undang-undang persendirian ditangani secara bijaksana dan saksama.

“Saya menyeru kepada pimpinan pusat Pakatan Rakyat untuk membina persefahaman bersama berhubung soal Hudud berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963.

“Ia kemudiannya dapat memacu kepercayaan seluruh rakyat Malaysia kepada Pakatan Rakyat sebagai pemerintah alternatif,” kata Chan. – Roketkini.com