Berita

Pulau Pinang batal sambutan Aidil Fitri, hormati korban MH17

GEORGE TOWN, 26 JUL: Kerajaan Pulau Pinang tidak akan mengadakan sebarang majlis sambutan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidil Fitri kali ini sebagai menghormati mangsa yang terkorban dalam tragedi pesawat MH17.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, ketetapan itu diputuskan mesyuarat majlis kerajaan negeri 24 Julai lalu, susulan pengumuman sama yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Keputusan ini dibuat serta-merta semalam (24 Julai) bagi menghormati mangsa yang terkorban dalam tragedi MH17.

“Rumah terbuka DUN saya iaitu Air Putih, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang turut dibatalkan,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan jabatan kerajaan dibolehkan menganjurkan rumah terbuka, namun ia perlu dibuat dengan sederhana.

“Ahli Yang Berhormat dan Adun boleh mengadakan sambutan secara sederhana. Begitu juga dengan jabatan dan agensi kerajaan, sambutan boleh diadakan untuk pekerja, tanpa melibatkan jemputan luar,” katanya lagi.

Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini mengibarkan bendera setengah tiang selama tiga hari, bermulam 18 hingga 20 Julai sebagai peringatan kepada mangsa tragedi itu.

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 ditembak jatuh di Donetsk, Ukraine pada  17 Julai lalu, mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 43 warga Malaysia. – Roketkini.com