Rencana

Memaknai Aidilfitri

Penghujung Ramadan merupakan tempoh paling mencabar bagi umat Islam di Malaysia yang rata-ratanya berketurunan Melayu. Secara idealnya mereka diharapkan bersedih dengan pemergian Ramadan, namun pada masa sama mood gembira perayaan semakin menguasai suasana.

Hampir saban tahun sepertinya pertembungan paling utama menjelang Aidilfitri adalah antara “yang sepatutnya” dan “yang kebiasaannya”. Di satu sudut masyarakat berdepan dengan Aidilfitri sebagaimana kebiasaan saban tahun, penuh keraian dan keramaian. Di satu sudut lagi ada kumpulan mahukan Aidilfitri dalam bentuk yang sangat ideal, segala kebiasaan-kebiasaan menyakitkan matanya kerana tidak cocok dengan ideal yang difahaminya.

Ada yang bahagia dengan suasana riang dan ria Hari Raya, ada yang rasa semput di dada melihat umat manusia terlalu bergembira. Masing-masing dengan makna Aidilfitri tersendiri. Apakah makna sebuah Aidilfitri?

Ketika mencari makna Hari Raya Aidilfitri pula, rata-rata umat Islam di Malaysia sudah mahir dengan jawapan mengikut skema pemarkahan, “Aidilfitri bermaksud kembali ke fitrah”. Fitrah bagaimana? Fitrah manusia itu bentuknya derita atau menggembirakan? Apakah bererti sebuah makna kalau tidak dapat dirasa?

Makna secara harfiahnya pula lebih mudah, sepertimana diterjemahkan saudara-saudara Muslim di Filipina, id al-fitr adalah Hari Raya Berbuka Puasa. Ya, tidak semua dari generasi yang galak menggunakan perkataan ‘iftar’ ketika Ramadan nampak kaitannya dengan ‘fitr’ dalam Aidilfitri.

Pencarian makna boleh jadi melelahkan. Makna yang diajarkan kadangkala tidak dapat dilihat dan dirasa dalam pengalaman dan pengamalan budaya. Sehingga akhirnya seolah-olah harus buat pilihan. Tinggalkan kebiasaan sekeliling demi menyambut maknanya yang lebih transenden.

Barangkali apakah itu Aidilfitri sangat bergantung kepada penyambutnya.

Bagi kumpulan manusia yang terkesan dengan proses urbanisasi, merantau jauh demi sesuap rezeki, Hari Raya Aidilfitri adalah temasya kekeluargaan. Peluang keluarga berkumpul kembali beramai-ramai di tempat asal. Mengingatkan kembali asal-usul dan merapatkan semula hubungan yang dicerai-cerai keperluan kelangsungan hidup. Dan sudah tentu keraian itu perlu diiringi dengan perkara-perkara menggembirakan.

Apakah salah untuk bergembira? Apakah diwajibkan bergembira? Bukan orang lain yang harus tentukan. Atau diajar apa yang perlu dirasakan. Malah soalan apakah baik atau jahatnya bergembira atau bersedih itu sendiri bermasalah. Pengalaman semasa manusia akan memaknai apa perayaan pun dan melahirkan rasa sepatutnya. Janganlah ‘dibunuh’ manusia sedangkan manusia itulah yang merayakan Aidilfitri.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Aidilftri itu bermakna kerana suasananya. Pengalaman-pengalaman manusia yang meraikannya. Seperti banyak dirumuskan dalam lagu-lagu Hari Raya malar segar yang menyentuh sanubari, kebanyakan manusia seolah-olah sepakat dengan suasana yang digambarkan. Meskipun ada yang memilih untuk merasakan betapa jahat dan ‘lagha’ dendangan-dendangan itu.

Sepanjang kesungguhan mencari makna Aidilfitri, sejauh mana kita sudah memaknai Aidilfitri dengan menghargai tiap detiknya?