Berita

Kadar tol CIQ di Johor naik mulai 1 Ogos, rakyat Malaysia paling terkesan

JOHOR BAHRU 30 JUL: DAP membantah tindakan Kementerian Kerja Raya (KKR) menaikkan kadar tol di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor Bahru yang memberi impak negatif terutamanya kepada rakyat Malaysia.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan Adun Stulang, Andrew Chen Kah Eng, Cheo Yee How (Pengkalan Rinting) dan Liow Cai Tung (Johor Jaya), kadar baru tol ini bakal memberi kesan negatif dan mempengaruhi pertumbuhan ekonomi di Johor Bahru akibat kesan berantai.

KKR pada 25 Julai lalu mengumumkan, kadar baru tol arah ke Malaysia bagi kenderaan daripada kelas 1 hingga 5 masing-masing adalah RM9.70, RM14.70, RM19.70, RM4.80 dan RM7.80 manakala kadar tol arah ke Singapura pula pada kadar RM6.80, RM10.20, RM13.60, RM3.40 dan RM5.50.

Pakatan Rakyat Johor sebelum ini membantah kenaikan tersebut yang mencecah sehingga 400% berbanding kadar lama sejak Januari 2011 bagi arah masuk dan keluar iaitu RM2.90, RM4.50, RM6.10, RM1.40 dan RM2.30.

Menurut kenyataan, kenaikan tol yang bermula 1 Ogos di CIQ, Johor Bahru bertujuan sebagai pampasan atau penyelenggaran EDL (Eastern Dispersal Link)

“Adalah tidak adil kerana mereka yang tidak menggunakan EDL juga terpaksa menanggung tol di CIQ. Manakala mereka yang menggunakan EDL tetapi tidak masuk ke CIQ dan keluar ke Singapura tidak perlu membayar sebarang tol.

“Kenaikan kadar ini tidak munasabah, kerana lebih kurang 20 tahun, PLUS mengutip tol sebanyak RM 2.90 tanpa pembinaan yang berkenaan. PLUS perlu bertanggungjawab terhadap pembinaan laluan yang menyambungkan Lebuhraya Utara Selatan dengan CIQ.

“Mereka yang berkerja di Singapura dan balik setiap hari mungkin akan memilih tinggal di Singapura untuk mengelakkan bayaran tol. Ini merupakan satu tamparan yang hebat kepada Malaysia kerana ramai rakyat Malaysia akhirnya akan memilih untuk tidak balik ke Malaysia,” kenyataan tersebut dipetik.

Tegas kenyataan tersebut, sebarang pelaksanaan dasar di sempadan Malaysia-Singapura tidak boleh dilakukan tanpa kajian terperinci kerana melibatkan politik antarabangsa yang sensitif.

“Kenaikan kadar tol ini akan merangsang kenaikan harga tol di sebelah Singapura. Mengikut pengumuman pihak Singapura jika tol di sebelah Malaysia naik, pihak Singapura juga akan naikkan harga tol,” tegas kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, kadar baru tol ini akan menjejaskan kuasa beli rakyat Malaysia, meningkatkan kos perniagaan selain kesan inflasi yang akan membantutkan ekonomi negara.

“Sektor hartanah, pelancongan, makanan, perniagaan runcit dan sebagainya akan terkesan. Isu ini melibatkan perhubungan antarabangsa kita dengan Singapura dan tidak seharusnya dilaksanakan secara terburu-buru.

“Ini juga melibatkan emosi rakyat yang akan memberi impak negatif kepada kerajaan. Rata-rata rakyat merasakan kenaikan kadar tol ini amat membebankan,” tambah kenyataan tersebut. – Roketkini.com