Berita

Pakatan dijangka kalah jika pilihanraya mengejut di Selangor, PAS mungkin ‘lenyap’

KUALA LUMPUR, 31 JUL – Sekiranya pilihanraya mengejut diadakan di Selangor, Pakatan Rakyat dikhuatiri tewas, namun PAS kalah teruk, tidak akan mendapat sokongan dan akhirnya lenyap dari peta politik Selangor.

Demikian bacaan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua dalam analisanya terhadap permasalahan yang sedang melanda pentadbiran negeri itu.

Senario itu digambarkan seandainya kemelut jawatan Menteri Besar Selangor tidak mencapai penyelesaian serta kemungkinan berlakunya pilihanraya negeri dengan jangkaan kemerosotan sokongan terhadap Pakatan Rakyat.

“Jika DAP dan PKR mahu menggantikan Tan Sri Khalid, manakala PAS mahu mengekalkan beliau dengan sokongan UMNO, Dewan Negeri akan terbelah dua tanpa majoriti jelas,” katanya dalam kenyataan awal pagi tadi.

“Dalam keadaan sedemikian, Tan Sri Khalid mungkin akan meminta supaya pilihanraya diadakan di Selangor,” ujar Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.

Jika pilihanraya mengejut diadakan, parti-parti komponen Pakatan Rakyat dijangka akan mengalami kekalahan; namun parti yang paling teruk terjejas ialah PAS.

Menurut beliau sekiranya PKR dan DAP mengalami kemerosotan sokongan 3% undi Melayu dan 10% undi bukan Melayu, kedua-duanya dijangka kehilangan kerusi di Batu Tiga, Ijok, Kota Anggerik, Taman Medan dan Pelabuhan Klang di pihak PKR; manakala Kuala Kubu Baru dan Sungai Pelek bagi DAP.

Kerusi Pelabuhan Klang adalah kerusi yang disandang Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Dalam senario paling optimistik tanpa kemerosotan undi Melayu untuk PAS dan 15% penurunan sokongan bukan Melayu, parti tersebut dijangka kehilangan 7 kerusi iaitu Sabak, Gombak Setia, Dusun Tua, Selat Klang, Sijangkang, Morib dan Tanjong Sepat.

“Sekiranya sokongan bukan Melayu merosot sehingga 25% akibat kontroversi PAS, parti tersebut akan turut kehilangan Taman Templer, Hulu Kelang, Lembah Jaya, Seri Serdang dan Paya Jaras,” jelas Tony sambil menambah bahawa PAS hanya akan berjaya mengekalkan tiga kerusi.

Malah katanya lagi, tiga kerusi ini masih tidak selamat walaupun undi Melayu merosot sekadar 5% manakala undi bukan Melayu merudum sehingga 30%, PAS akan pastinya ‘bungkus’.

Tony turut menegaskan bahawa sekiranya pilihanraya mengejut diadakan, Pakatan Rakyat pastinya tidak akan mampu mengekalkan kedudukan mentadbir negeri, manakala yang akan menang besar pastilah Umno.

“Kedegilan PAS menyokong Tan Sri Khalid Ibrahim akan mengundang pilihanraya mengejut yang akan menyebabkan Pas kalah teruk serta mengembalikan Selangor kepada Umno,” tegasnya lagi.

Setiausaha Publisiti DAP itu menambah bahawa Pas mestilah bersama-sama semangat Pakatan demi menunaikan janjinya kepada rakyat Selangor. – Roketkini.com