Berita

Jangan sampai buat Umno gembira – Pemuda Pakatan Rakyat

IPOH, 1 OGOS – Semua pihak dalam Pakatan Rakyat diseru supaya kekal bersatu hati untuk terus memikul amanah rakyat dan tidak memberi peluang untuk Umno-BN bergembira.

Dalam kenyataan bersama ketua pemuda DAP, PAS, dan PKR Perak hari ini, Pakatan Rakyat digesa supaya bertahan menerima serangan tajaan pihak lawan dan mengekalkan semangat silaturahim yang telah dijalin selama ini.

“Pemuda Pakatan Rakyat Perak tetap kukuh dan bersatu untuk meneruskan landasan politik hasil daripada amanah yang diberi oleh Rakyat dalam PRU-12 dan PRU-13.”

Kenyataan tersebut ditandatangani Ketua Dewan Pemuda PAS Perak Raja Iskandar Al-Hiss, Ketua DAPSY Negeri Perak Wong Kah Woh dan Ketua AMK Perak Zafril Eusoff.

“Jangan kita membiarkan Barisan Nasional dan UMNO senyum akhir nanti. Sudah sampai masa untuk Pakatan Rakyat membuktikan bahawa kita mampu dan mempunyai hasrat politik untuk menangani krisis dan cabaran di hadapan kita,” ujar mereka.

Hubungan parti-parti komponen Pakatan Rakyat dilihat goyah akhir-akhir ini ekoran kemelut Menteri Besar Selangor yang membawa kepada perselisihan pendapat di kalangan pimpinan serta mendorong sesetengah pihak menyarankan kepada PAS supaya meninggalkan Pakatan dan bekerjasama dengan Umno. – Roketkini.com