Berita

Nur Jazlan pun tidak setuju caj VEP, Khaled jangan sebar fitnah – Shu Qi

JOHOR BAHRU, 1 OGOS – Putar belit Umno terhadap pendirian DAP berkenaan pelaksanaan caj permit masuk kenderaan (Vehicle Entry Permit, VEP) dikesali, terutamanya apabila ia dibuat ketika musim hari raya.

Bukan sahaja pendirian DAP diputar belit tanpa memahami kenyataan penuh, Umno turut terlepas pandang bahawa pendapat yang sama turut dikongsi Ahli Parlimen Umno Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Nur Jazlan dalam kenyataan bertarikh 17 Julai dilaporkan berkata, “Saya selaku ahli Parlimen mendapat pelbagai pertanyaan berikutan langkah kerajaan berkenaan kerana bagi mereka yang bekerja di Singapura dan menggunakan kenderaan negara itu, sudah pasti terjejas dengan pelaksanaan VEP.”

Adun Kulai Wong Shu Qi dalam kenyataannya hari ini menempelak fitnah yang dilemparkan kepada DAP menerusi dua perkongsian Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin di laman sosial Twitter semalam.

Perkongsian grafik tersebut mendakwa kononnya DAP tidak mempertahankan kepentingan Malaysia dan sebaliknya melebihkan kepentingan Singapura.

“Pihak yang membuat fitnah dengan niat jahat ini tidak pun membaca kenyataan penuh saya serta mengabaikan fakta-fakta dan alasan yang saya berikan,” ujar Shu Qi.

“Dalam tiga kenyataan saya mengenai VEP, saya telah menasihatkan secara berulangkali bahawa, kepentingan warga Malaysia yang bekerja di Singapura perlu dipertimbangkan kerana mereka adalah golongan yang menerima kesan langsung sekiranya VEP dilaksanakan.”

“VEP tidak boleh dijalankan sekiranya dana yang dikutip dari VEP tidak digunakan untuk meningkatkan taraf perkhidmatan pengangkutan awam Johor Bahru,” jelasnya lagi.

Pelaksanaan VEP oleh kerajaan dilihat sekadar tindakan reaktif kepada tindakan Singapura mengumumkan kenaikan caj VEP ke atas kereta dengan pendaftaran asing daripada S$20 (RM51.40) kepada S$35 (RM90) sehari.

Shu Qi menegaskan bahawa kerajaan semestinya menjalankan kajian terlebih dahulu sebelum melaksanakan dasar tersebut selain menjamin bahawa dana yang dikumpul daripada caj tersebut akan digunakan untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam di Johor.

“Datuk Seri Khaled Nordin juga seharusnya meminta maaf atas sebaran tuduhan tidak berasas tersebut,” katanya. – Roketkini.com