Berita

Apa masalahnya jika wanita jadi MB?

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: DAP memberikan sokongan penuh kepada mana-mana wanita untuk diangkat menjadi Menteri Besar atau Ketua Menteri, kata Setiausaha Agung Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian ketika menyangkal kritikan sesetengah pihak yang tidak setuju Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengambil alih jawatan MB Selangor atas alasan gender.

Malah, katanya lagi, mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP pada 10 Ogos nanti hanya akan menyentuh tentang kelayakan Wan Azizah semata-mata, tanpa membangkitkan soal gender beliau.

“DAP menegaskan pendirian bahawa wanita layak menjadi Menteri Besar atau Ketua Menteri.

“Kami memandang serius terhadap beberapa pemimpin politik yang membantah wanita sebagai MB hanya kerana gendernya, padahal mereka tiada masalah jika wanita menjadi menteri atau anggota EXCO ataupun seorang doktor.

“Pendapat yang mendiskriminasi seseorang berasaskan gender bukan sahaja bersifat feudal dan ketinggalan zaman, malah turut bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan, ‘…Tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina… kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran… yang berhubungan dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan atau penjalanan apa-apa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.”

Kenyataan peguam Umno Mohd Hafarizam Harun yang memperlekeh keupayaan golongan wanita untuk menjadi MB yang baik, terutama ketika tempoh haid, mengundang kecaman pelbagai pihak.

Malah, sesetengah pemimpin PAS turut kelihatan tidak senang dengan cadangan itu, antaranya Exco kerajaan Selangor Dr Yunus Khairi yang mendakwa konsensus Pakatan hanya melibatkan wanita sebagai wakil rakyat.

Justeru itu, Ketua Menteri Pulau Pinang itu mendesak semua parti politik menyatakan pendirian dengan jelas sama ada mereka menyokong wanita yang berkelayakan menjadi MB.

“Ini ujian pertama untuk setiap parti politik sama ada mereka benar-benar ikhlas menentang diskriminasi berasaskan gender.

“Selagi prinsip asas ini tidak dinyatakan dengan jelas, tiada gunanya berbalah sama ada Wan Azizah sesuai atau tidak untuk memegang jawatan itu,” katanya lagi. -Roketkini.com