Berita

Bungkam kritikan terhadap ketidakadilan, Malaysia makin mundur – Gobind Singh Deo

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Tindakan menyiasat Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang di bawah Akta Hasutan berhubung kritikannya mempersoalkan ketidakadilan kes kematian Teoh Beng Hock adalah petunjuk bahawa Malaysia semakin mundur ke belakang.

Ketua Biro Undang-Undang DAP Gobind Singh Deo berkata, tindakan itu menggambarkan kecacatan demokrasi di negara ini apabila cuba menyekat dan membungkam kritikan awam.

“Kita sepatutnya menerima hakikat bahawa negara ini sedang bergerak ke hadapan dari sudut perbincangan awam. Tidak ada yang salah dalam perbezaan pandangan dan pendapat.

“Mendakwa Kit Siang di bawah Akta Hasutan adalah satu langkah yang salah,” katanya, seperti dilapor Malaysiakini.

Terdahulu hari ini, polis mengambil keterangan Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berhubung artikelnya ‘Malaysians will not rest until justice is done for the killing of Teoh Beng Hock’.

Keterangan Kit Siang diambil pegawai penyiasat ASP Wan Tiew Kwang dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di Ibu Pejabat DAP, Jalan Yew berhubung tulisan mengenai kematian Teoh Beng Hock yang diterbitkan laman web The Rocket 16 Julai lalu.

Gobind memaklumkan, beliau telah meneliti keseluruhan artikel terbabit dan tidak menemui sebarang unsur hasutan dalam penulisan tersebut.

Katanya lagi, tidak ada yang salah untuk mengkritik penghakiman, terutamanya jika ia dibuat untuk membetulkan keadaan.

“Ramai yang membicarakan tentang misteri kematian Beng Hock. Agak menghairankan mengapa tumpuan hanya terarah kepada Kit Siang. Pada saya, beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Sekiranya undang-undang membenarkan kehakiman dikritik, maka tidak wajar dakwaan dikenakan kepada individu yang melakukannya,” kata Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong.

Minggu lalu, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata bahawa pihaknya akan menyiasat Kit Siang di bawah Akta Hasutan 1948 berdasar beberapa laporan.

Khalid menuduh Kit Siang cuba mempengaruhi fikiran rakyat bahawa Beng Hock dibunuh, sedangkan penulis tersebut apabila mempersoalkan mengapa pihak terlibat dalam kejadian itu masih belum ditangkap. – Roketkini.com